X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan timbang naikkan kompaun ingkar PKP

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan jumlah kompaun terhadap individu yang ingkar kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan masih ramai yang tidak mematuhi arahan tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, ini kerana jumlah kompaun RM1,000 yang dikenakan ketika ini jauh terlalu rendah berbanding denda yang dikenakan di luar negara.

“Mungkin kita hendak minta pihak Kementerian Kesihatan (KKM) berbincang dengan pihak Peguam Negara, kalau perlu mungkin kita boleh naikkan denda atau kompaun yang boleh dikenakan dari segi penjara pun boleh tambah dan sebagainya.

“Ia supaya boleh dijadikan sebagai peringatan atau ketakutan kepada rakyat supaya tidak ingkar dengan arahan dalam tempoh PKP ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan kompaun RM1,000 untuk pengajaran!

“Ada kemungkinan (kompaun dinaikkan) saya tidak tahu, tidak pasti kerana kompaun RM1,000 itu terlalu rendah,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan mungkin akan mengambil tindakan lebih tegas susulan jumlah tangkapan individu yang ingkar arahan PKP masih lagi ramai ketika ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kebanyakan denda yang dikenakan oleh negara-negara lain terhadap rakyat mereka yang ingkar dengan arahan bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) melebihi RM10,000.

“Kalau kita lihat di Singapura, hukuman pertama adalah SG$10,000 (RM30,000), kesalahan kedua SG$20,000 (RM60,000), di Korea Selatan sekali pun kira-kira RM35,000, begitu juga di negara-negara lain.

“Jadi (kalau kita lihat) hukumannya adalah besar dari segi yang ditetapkan adalah tinggi melebihi RM10,000, cuma di Malaysia setakat ini masih RM1,000,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus