Kolokium timbang tara antarabangsa jelas isu tuntutan Sultan Sulu

Khairul Dzaimee ketika hadir pada taklimat sesi libat urus mengenai status semasa isu tuntutan pihak mendakwa waris Sultan Sulu bersama ADUN Sabah di Kota Kinabalu.
Khairul Dzaimee ketika hadir pada taklimat sesi libat urus mengenai status semasa isu tuntutan pihak mendakwa waris Sultan Sulu bersama ADUN Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial akan diadakan pada Selasa depan.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kolokium itu adalah anjuran bersama Asian International Arbitration Centre (AIAC), Universiti Malaya (UM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.

"Kolokium ini akan memberi pencerahan yang lebih terperinci berkaitan isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu dan ia akan memberi fokus antara lainnya kepada kesan Konvensyen Bagi Mengiktiraf Dan Menguatkuasa Award Timbang Tara Antarabangsa (Konvensyen New York) dan kekebalan kedaulatan negara.

"Kolokium yang sama juga dirancang untuk diadakan di negeri Sabah dan beberapa negara antaranya United Kingdom selepas ini," katanya ketika berucap pada taklimat sesi libat urus mengenai status semasa isu tuntutan pihak mendakwa waris Sultan Sulu bersama ADUN Sabah di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, kerajaan turut mengambil usaha diplomatik berterusan melalui Kementerian Luar Negeri bagi menerangkan isu sebenar dan implikasi tindakan penuntut ini di negara-negara lain.

"Urus setia mengambil maklum semua persoalan dan isu yang dibangkitkan oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, pegawai-pegawai kanan kerajaan Sabah serta pemimpin tempatan yang hadir semasa sesi soal jawab dan akan dikaji sewajarnya untuk tindakan berkaitan," katanya.

Sebelum itu, antara yang hadir pada sesi taklimat terbabit ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick; bekas Ketua Menteri Sabah selaku ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sesi libat urus itu juga turut dianjurkan oleh BHEUU, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah serta agensi di bawah Kerajaan Negeri Sabah.