‘Baru terhegeh-hegeh nak belajar berniaga online’

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KETIKA dunia dijarah virus Covid-19 yang telahpun membunuh puluhan ribu manusia, kita semua perlu terus hidup dengan mencari wang bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Kepada yang terus mendapat gaji seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bersyukurlah kerana di luar sana terdapat ribuan lagi yang tidak bernasib baik terutamanya yang bekerja dengan upah harian dan peniaga gerai kecil-kecilan di tepi jalan atau di kampung.

Tahun ini, semakin menghampiri bulan Ramadan, perasaan peniaga bukannya semakin teruja, tetapi mereka semakin gelisah kerana hampir semua negeri telah membatalkan bazar Ramadan.

Keputusan ini disambut dengan pelbagai reaksi dari masyarakat.

Beberapa rakan Merak Jalanan ada mengadu mengenai kerisauan mereka bagaimana mahu berniaga jika bazar Ramadan dibatalkan.

Mereka berpendapat hanya bazar sahaja cara untuk mencari rezeki pada bulan itu tanpa memikirkan alternatif lain.

Merak Jalanan pun bukanlah pakar perniagaan atau ekonomi, tapi Merak Jalanan boleh beri sedikit nasihat bahawa perniagaan masih boleh berjalan menggunakan sistem dalam talian asalkan ianya dibuat secara optimum dan efisyen.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu rancangan di televisyen pada malam Rabu lalu juga menyebut, sekarang peniaga mesti bersiap sedia dengan mewujudkan Bazar Ramadan Online atau e-Bazar.

Artikel Berkaitan:

Perubahan drastik ini dilakukan kerana wabak Covid-19.

Jika bazar Ramadan diteruskan tetapi wabak terus meningkat, ia bukan sahaja membahayakan rakyat malah ia boleh melumpuhkan sistem kesihatan negara. Perkara ini yang mesti dielakkan.

Bila Merak Jalanan bercakap mengenai perniagaan online, barulah beberapa rakan tadi yang bersikap ‘old school’ sebelum ini mula tertanya-tanya pasal Lazada, Shoppe dan bagaimana mahu mendaftar kedai di GrabFood atau FoodPanda.

Tidak ada istilah terlambat dalam perniagaan. Jika dibuat dengan betul, mereka yang bermula lewat tetap boleh memotong orang yang bermula awal asalkan mereka tahu apa yang perlu dibuat dan belajar dari kesilapan pemain sebelumnya.

Ketika musim Covid-19 ini, jadilah komuniti yang kreatif. Kalau tidak pandai menggunakan aplikasi yang kompleks, sekurang-kurangnya mereka boleh memanfaatkan WhatsApp.

Contohnya kumpul pesanan ikan, sayur dan daging jiran tetangga, petang atau keesokannya pesanan tiba.

Apapun kekal duduk di rumah dan putuskan jangkitan Covid-19 ini!