Mungkin kita perlu ‘reverse emergency’

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

HARI ini adalah hari yang ditunggu-tunggu semua rakyat Malaysia kerana hari ini merupakan penentu sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan ataupun tidak.

Memasuki minggu keempat PKP, majoriti dari kita sudah mula menerima ‘normal baru’ dengan menjadikan penjarakkan sosial ketika berada di luar rumah.

Di mana-mana sahaja kita melihat orang ramai sudah boleh berbaris dengan tertib dan sabar. Pemandangan yang sukar dilihat sebelum ini.

Selain itu, masyarakat kita juga sudah boleh menyesuaikan diri tidak keluar dari rumah.

Kanak-kanak pun tiada lagi kelihatan merayau-rayau di jalan raya atau di taman-taman permainan. Semuanya sudah mengikut arahan kerajaan bagi memerangi wabak Covid-19. Berat badan juga sudah bertambah sekilo dua.

Katalah kita akhirnya berjaya memenangi perang ke atas Covid-19, PKP pada satu tahap sudah pasti ditarik balik dan ekonomi negara akan cuba di ‘jump start’ sepantas yang boleh.

Oleh kerana rakyat terbiasa duduk di rumah, mereka akan terus duduk di rumah sepanjang masa.

Mungkin tempat-tempat tumpuan dan pusat membeli-belah akan terus lengang, jika adapun pasti semua akan mengambil keputusan tunggu dan lihat. Kita tidak tahu siapa yang menjadi pembawa virus ini.

Artikel Berkaitan:

Ekonomi negara tidak boleh bergerak pantas jika orang tidak berbelanja lebih di dalam negara. Apapun kita perlu pandai mengimbangi antara keperluan dan kehendak.

Kalau perkara ini berterusan untuk tempoh yang terlalu lama, mungkin pihak berkuasa perlu melakukan ‘reverse emergency’ atau bahasa mudahnya perintah bebas bergerak bagi memaksa orang ramai keluar dari rumah tapi kekal dengan penjarakkan sosial dan memakai topeng muka.

Bagaimanapun pada musim PKP ini, kita boleh melihat orang Malaysia masih boleh membeli belah secara online dan depoh-depoh pos seluruh negara dipenuhi dengan kotak.

Ada gambar depoh pos yang tular menunjukkan kotak melimpah ruah hingga ke kaki lima.

Selain itu, kedai-kedai makan dari warung tepi jalan hingga ke restoran besar sudahpun memanfaatkan pembelian online sama ada menyediakan penghantaran ataupun pelanggan mengambil makanan sendiri.

Bulan Ramadan ini nanti merupakan ujian pertama bagaimana peniaga menggunakan sistem online.

Jika berjaya ia akan menjadi ‘benchmark’ kepada tahun-tahun akan datang dan jika ada kekurangan, kita boleh memperbaikinya.

Terus duduk di rumah dan ikut arahan Kementerian Kesihatan!