X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kadar kematian di Malaysia rendah

A
A

PUTRAJAYA - Kadar kematian akibat koronavirus (Covid-19) di Malaysia adalah masih rendah iaitu pada kadar 1.58 peratus berbanding purata negara-negara lain yang dilaporkan kira-kira 4.6 ke 5.6 peratus daripada jumlah mereka yang dijangkiti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan itu membuktikan perkhidmatan perubatan yang diberikan dalam negara sama ada di wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah pada tahap baik dan memuaskan.

"Pakar-pakar kita, contohnya pakar bius dapat merawat pesakit sebaik mungkin dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka kerana memberikan rawatan yang mantap dan berkesan kepada semua pesakit di wad dan ICU," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Mengenai pesakit di ICU, Dr Noor Hisham menjelaskan, lima peratus pesakit Covid-19 dimasukkan ke unit itu untuk menerima rawatan dan peratusan discaj adalah sekitar 35 hingga 40 peratus.

"Yang selebihnya masih dirawat di ICU atau mereka akan kembali ke wad biasa. Kira-kira lima peratus atau 4.9 peratus diuruskan di ICU dan kira-kira 30 peratus daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Semalam, situasi Covid-19 di negara ini turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad seramai 166 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu 156 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi ialah 72 dengan 43 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, terdapat pertambahan dua lagi kes kematian menjadikan keseluruhannya sebanyak 67 kematian akibat Covid-19 setakat ini.

"Kes kematian ke-66 (kes ke-2798) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik lain. Lelaki itu mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

"Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9 April, jam 5 pagi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-67 (kes ke-2864) pula merupakan wanita warga Malaysia berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

Katanya, wanita itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 (kes ke-2469 dan ke-2470) dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak, dan beliau bukan peserta persidangan tersebut.

Wanita berkenaan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9 April, jam 9.42 pagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 416 kes positif Covid-19 dalam kalangan bukan warga Malaysia, termasuk dua kes kematian iaitu kes ke-1906, warga Pakistan yang dilaporkan semalam dan kes pesakit 1,275 warga Indonesia yang dilaporkan meninggal dunia pada 31 Mac.

Beliau berkata, antara warga asing yang dikesan positif wabak itu ialah rakyat Indonesia sebanyak 51 kes, India (37), Myanmar (31), Pakistan (29) dan Filipina (27).

Menurutnya, KKM bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah.

"Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, 137 sukarelawan daripada pelbagai sektor menggembleng tenaga bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!