64 peratus yayasan di Malaysia rendah ketelusan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian platform digital Wiki Impact mendedahkan bahawa 64 peratus daripada yayasan bukan keuntungan Malaysia tidak menyediakan maklumat yang mencukupi kepada orang ramai dan memperoleh penilaian ketelusan yang rendah.

Laporan Skor Ketelusan Yayasan Malaysia pada April 2023, menyatakan hanya 32 yayasan daripada 1,567 yayasan di Malaysia menerima penarafan A minimum dengan markah 75 peratus atau ke atas.

Berdasarkan kriteria yang disemak oleh Wiki Impact Wiki Impact bagi menilai ketelusan yayasan adalah menyediakan laporan kewangan, impak yang untuk umum, laman web terkini dan aktif, serta media sosial sentiasa dikemaskini.

Bagaimanapun, sebanyak tujuh yayasan mendapat 100 peratus bagi markah ketelusan tersebut.

Antaranya adalah WWF Malaysia, Yayasan TFM, Yayasan Bank Rakyat, Yayasan Basmi Kemiskinan, Yayasan Generasi Gemilang, Yayasan Johor Corporation dan Yayasan Sime Darby.

Laporan itu juga memaklumkan bahawa separuh daripada yayasan di Malaysia mencapai skor ketelusan cuma 10 peratus.

Ia sekaligus menunjukkan bahawa yayasan itu tidak mempunyai maklumat terbuka tentang program dan kewangan, atau maklumat tentang pemegang amanah atau lembaga mereka di laman web mereka.

Dari segi kehadiran digital, 37 peratus daripada yayasan tidak mempunyai laman web yang diterbitkan.

Hanya 28 peratus yayasan mengemaskini akaun media sosial mereka dalam tempoh tiga bulan lalu manakala 131 yayasan tidak menyiarkan dan kemaskini selama lebih setahun.

Selain itu, Hanya 2.94 peratus mengeluarkan Laporan Impak dalam tempoh lima tahun yang lalu dan hanya 31 yayasan (2.3 peratus) pernah menerbitkan laporan kewangan secara terbuka.