Kem pelarian Rohingya kena 'lockdown'

Kem Balukhali di Ukhia sesak dengan pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar sejak 2017. - FOTO: AFP
Kem Balukhali di Ukhia sesak dengan pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar sejak 2017. - FOTO: AFP
A
A
A

COX’S BAZAR - Bangladesh melaksanakan langkah lockdown di daerah Cox’s Bazar yang didiami lebih sejuta pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar untuk mencegah penularan koronavirus (Covid-19), menurut para pegawai hari ini.

Di bawah arahan pemerintah itu, sebarang pergerakan keluar dan masuk tidak dibenarkan sehingga situasi kembali pulih.

Pasukan keselamatan turut mengadakan sekatan jalan raya di laluan utama di daerah tersebut yang mempunyai populasi 3.4 juta penduduk termasuk pelarian Rohingya untuk memastikan arahan itu dipatuhi.

Selain itu, pihak berkuasa juga melakukan rondaan di sekitar kem pelarian terbabit.

Sementara itu, pesuruhjaya pelarian, Mahbub Alam Talukder berkata, sekatan pergerakan terhadap pekerja bantuan juga telah dikuatkuasakan yang menyebabkan pengurangan tenaga kerja kepada 80 peratus.

“Hanya bekalan makanan kecemasan dan perkhidmatan perubatan dibenarkan terus beroperasi sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.

Sebelum ini, pakar memberi amaran wabak itu boleh merebak dengan cepat di kem pelarian tersebut yang sesak dan tidak dilengkapi sistem kebersihan sepatutnya.

Sehingga kini, tiada kes dilaporkan di kem pelarian Rohingya terbabit, namun satu kes jangkitan direkodkan di kawasan berhampiran. -AFP

Artikel Berkaitan: