Bangladesh janji terima semula Rohingya jika projek hantar pulang gagal

Hampir 1.2 juta Rohingya tinggal di Bangladesh, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera yang kejam di Rakhine pada Ogos 2017. - Foto fail Bernama
Hampir 1.2 juta Rohingya tinggal di Bangladesh, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera yang kejam di Rakhine pada Ogos 2017. - Foto fail Bernama
A
A
A

DHAKA - Bangladesh pada Ahad mempertahankan projek perintis untuk menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar, dengan memberi jaminan bahawa mereka akan dibawa balik jika mereka berasa tidak selesa di Rakhine atau projek itu gagal.

Pelarian Rohingya balik ke sana secara sukarela, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Menteri Hal Ehwal Luar Bangladesh, Shahriar Alam, kepada pemberita di Dhaka.

"Ini adalah proses percubaan, tiada penghantaran pulang dalam jumlah yang besar. Rohingya akan dihantar ke Rakhine untuk memantau keadaan. Jika mereka berasa tidak selesa, ada peluang untuk membawa mereka kembali. Dalam kes itu, kita tidak nampak hujah untuk menentangnya,” katanya.

Kenyataan terbaru oleh pihak berkuasa Bangladesh itu bertujuan untuk menangani kebimbangan global dan gesaan supaya projek perintis yang sedang dijalankan bersama oleh Bangladesh dan Myanmar yang diusahakan China, digantung.

Pelarian Rohingya di kem Bangladesh sudah menyatakan kebimbangan terhadap penghantaran pulang secara paksa dan tiada perubahan dalam kehidupan mereka selepas dihantar pulang ke Rakhine tanpa hak kewarganegaraan, menurut laporan itu.

Bangladesh dan Myanmar melancarkan projek untuk menghantar pulang kira-kira 1,100 pelarian.

Hampir 1.2 juta Rohingya tinggal di Bangladesh, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera yang kejam di Rakhine pada Ogos 2017.

Walaupun majoriti masih berada di kem-kem yang sesak di daerah selatan Cox's Bazar, kira-kira 30,000 telah dipindahkan ke pulau Bhasan Char sejak lewat tahun 2020.

Alam berkata, komennya adalah sebagai tindak balas kepada bantahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap projek perintis itu dan proses sedang dijalankan untuk melibatkan PBB.

Beliau berkata, walaupun belum ada perjanjian bahawa Rohingya akan dihantar pulang dengan sijil daripada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), 'mereka telah dimaklumkan tentang usaha kami'.

Beliau juga membantah kenyataan yang dibuat oleh Tom Andrews, Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar.

Alam berkata, Andrews melawat Cox's Bazar baru-baru ini dan memberikan kenyataan mengenai projek perintis itu, namun perkara yang dikatakan dan bahasa yang dia gunakan "memperkecilkan dan tidak menghormati usaha kami. Kami akan melaporkan perkara itu kepada PBB".

Andrews pada Khamis berkata, Bangladesh mesti menggantung serta-merta projek perintis penghantaran pulang pelarian Rohingya kembali ke Myanmar, dengan kemungkinan mereka menghadapi risiko serius terhadap nyawa dan kebebasan mereka.

Bulan lepas, pegawai Bangladesh membawa 20 pelarian Rohingya melawat kem penempatan semula di negeri Rakhine Myanmar untuk menilai keadaan bagi mereka kembali, namun berakhir dengan delegasi Rohingya menyatakan kebimbangan mereka terhadap rancangan itu.

Kumpulan hak asasi antarabangsa termasuk Pemerhati Hak Asasi Manusia menyokong bantahan terhadap cadangan itu, menggesa kerajaan penderma dan Amerika Syarikat menghentikan sebarang penghantaran pulang Rohingya sehingga syarat ditetapkan untuk pemulangan yang selamat dan berkekalan. - Bernama-Anadolu