Rundingan dengan AS hanya berjaya jika hak rakyat Iran dihormati - Araghchi

Araghchi Foto Agensi
Araghchi Foto Agensi
A
A
A

TEHRAN - Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan pada Ahad bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) hanya akan mencapai kejayaan sekiranya "hak rakyat Iran diiktiraf dan dihormati," lapor Agensi Anadolu.

Berucap pada forum diplomatik di Tehran yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Iran, Araghchi berkata, Iran bersedia untuk "menjawab" dan "memberi penjelasan" terhadap sebarang "persoalan atau kekaburan" berhubung program nuklear negara itu menerusi saluran diplomasi.

"Ilmu tidak boleh dihapuskan melalui pengeboman dan teknologi tidak boleh dimusnahkan. Teknologi dan ilmu itu wujud serta tiada alternatif lain selain rundingan.

"Inilah yang saya sampaikan kepada pasukan Amerika kelmarin dan sebenarnya kehadiran mereka di meja rundingan adalah atas sebab ini, mereka telah mencuba pendekatan lain,” katanya merujuk kepada perang Israel terhadap Iran yang disokong AS pada tahun lepas.

Rundingan antara Tehran dan Washington disambung semula di Muscat, Oman pada Jumaat selepas ketegangan memuncak selama berminggu-minggu susulan pengerahan tentera AS di perairan Teluk Parsi berhampiran Iran.

Negara-negara serantau yang diterajui oleh Turkiye, memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan dan memudah cara rundingan itu yang sebelum ini digantung susulan perang selama 12 hari pada Jun 2025.

Araghchi menegaskan bahawa rundingan akan berjaya apabila hak rakyat Iran "diiktiraf, dihormati dan apabila mereka dapat melaksanakan hak."

"Kami tidak meminta sesiapa untuk mengiktiraf hak kami, hak kami sudah sedia ada dan terbukti.

"Apa yang kami mahukan adalah penghormatan terhadap hak itu,” katanya kepada hadirin yang terdiri daripada diplomat Iran dan asing, wartawan serta ahli akademik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata "sumber kekuatan" Iran adalah untuk "berdiri teguh menentang pembulian, penguasaan dan tekanan luar."

"Mereka takutkan bom nuklear kami, sedangkan kami tidak berusaha membuat sebuah bom nuklear. Bom nuklear kami adalah kekuatan untuk berkata ‘tidak’ kepada kuasa-kuasa besar.

"Rahsia kekuatan Republik Islam ini terletak pada keupayaan untuk berkata tidak kepada kuasa itu,” tegas diplomat tertinggi Iran itu.- Bernama -Anadolu

Ringkasan AI

  • Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menegaskan rundingan dengan AS hanya akan berjaya jika hak rakyat Iran dihormati
  • Iran bersedia menjawab dan memberi penjelasan terhadap persoalan tentang program nuklearnya melalui diplomasi
  • Ilmu dan teknologi tidak dapat dihapuskan, menyatakan tiada alternatif selain rundingan
  • Rundingan antara Tehran dan Washington disambung semula di Muscat, Oman setelah ketegangan bertambah akibat pengerahan tentera AS
  • Negara-negara serantau, dipimpin oleh Turkiye, memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan dan memudahkan rundingan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!