Wanita bertudung mampu menangi sukan luncur ombak

Mona Rasidah memenangi juara bagi kategori terbuka kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) di Pantai Batu Buruk di sini, Sabtu lalu. Gambar kecil, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Mona Rasidah memenangi juara bagi kategori terbuka kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) di Pantai Batu Buruk di sini, Sabtu lalu. Gambar kecil, Wan Sukairi Wan Abdullah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kejayaan Mona Rasidah Abdul Rashid dalam sukan luncur ombak di sini, Sabtu lalu, membuktikan bahawa menutup aurat tidak mengehadkan aktiviti sukan para atlet.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun bertudung, ia tidak menghalang wanita itu menyertai kejohanan luncur ombak malah muncul sebagai juara.

"Kita kagum dengan kejayaan beliau malah penampilan beliau dalam kejohanan itu bertepatan dengan apa yang digariskan kerajaan negeri.

"Ia membuktikan menutup aurat sebenarnya langsung tidak menyekat atlit untuk terus bersukan.

"Yang penting adalah bakat dan kebolehan atlit terbabit, bukan bergantung pada pemakaiannya," katanya.

Wan Sukairi berkata, apa yang dicapai Mona Rasidah menunjukkan kesediaan untuk mempraktikkan pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan di negeri ini.

"Ia menunjukkan para atlit bersedia untuk memakai pakaian patuh syariah dan ia jelas langsung tidak menghalang apa yang digariskan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, atlet berusia 33 dari Kampung Selamat, Kuantan, Pahang itu berkata, pakaian patuh syariah tidak menjejaskan prestasinya malah, memberi lebih keselesaan dan keyakinan ketika meluncur.

Artikel Berkaitan:

"Bertudung tidak menghalang untuk melakukan aktiviti lasak malah rasa selamat kerana sebelum ini rambut selalu menutup mata yang menyebabkan saya hilang kawalan," katanya.

Katanya, kejayaan terbaharu itu adalah yang keempat selepas kemenangannya dalam kejohanan luncur ombak di Pulau Tioman dan Terengganu, sebelum ini.

Mona Rasidah yang menceburi sukan air itu sejak 2010 berkata, minatnya timbul selepas melihat rakan-rakan lelakinya di kampungnya meluncur ombak.

"Rumah saya dekat dengan pantai dan bila tengok ramai rakan sekampung meluncur di Pantai Teluk Cempedak, timbul keinginan untuk turut sama jadi peluncur.

"Apabila sudah selalu berlatih, perlahan-lahan saya dapat mengatasi rasa takut dengan ombak dan akhirnya lebih yakin untuk mengawal situasi," katanya.

Mona Rasidah adalah peserta wanita tunggal bertudung dalam kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) di Pantai Batu Buruk di sini, Sabtu lalu.

Beliau berjaya mengetepikan peserta lain apabila dinobatkan sebagai juara kategori terbuka wanita.

Hadiah kepada peserta disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibnu Amin Busu.