66 pegawai polis positif Covid-19, 1,225 dikuarantin di rumah

Acryl Sani pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.
- Foto: Bernama
Acryl Sani pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.
- Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 66 pegawai polis di seluruh negara disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) menerima rawatan di hospital sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, selain itu, jumlah individu yang dikuarantin di rumah masing-masing pula meningkat kepada 1,225 orang berbanding 994 orang sehingga kelmarin.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 155 adalah pegawai kanan polis manakala 654 orang adalah pegawai berpangkat rendah.

"Seramai 35 individu lagi adalah penjawat awam di PDRM dan selebihnya 381 orang adalah kontak rapat mereka yang terdiri daripada ahli keluarga pegawai dan anggota,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Dewan Theatrette, Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Acryl, pihaknya mementingkan kebajikan dan kesihatan kesemua anggota PDRM sentiasa diutamakan.

"Oleh itu, segala bimbingan untuk menjaga kebersihan diri sepanjang bertugas di lapangan telah dilaksanakan pihak PDRM," katanya.

Beliau berkata, setiap tugasan anggota dan pegawai PDRM termasuk melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa diperhalusi dengan mengambil kira aspek keselamatan anggota dan pegawai.

Di samping itu Acryl berkata, pihaknya juga turut menitikberatkan kebajikan anggota bertugas di lapangan dan memerlukan bantuan sebanyak yang mungkin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setiap tugasan akan dilakukan mengikut penggiliran bagi memastikan setiap petugas keselamatan sentiasa dalam keadaan cergas dan tidak lesu semasa bertugas lapangan.

Ditanya pihak media mengenai insiden orang awam melanggar anggota keselamatan semasa sekatan jalan raya, katanya, bagi mengelak insiden itu berulang, beliau juga menasihatkan pasukannya supaya memastikan lokasi SJR dalam keadaan selamat dan tidak berisiko.

“Kita lihat kes rempuh dalam sekatan pemandu berkata mengantuk dan ada yang tidak perasaan polis mengadakan sekatan jalan di hadapan.

“Ada juga kita terima katanya, pemandu yang leka menggunakan telefon bimbit semasa memandu sehingga mengundang risiko merempuh sekatan jalan raya.

“Saya berharap supaya petugas yang melakukan setiap sekatan jalan menyemak kedudukan lokasi supaya penglihatan pengguna lebih jelas dan mudah dilihat sekatan dari jauh sebagai langkah mengelak insiden rempuh,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!