Bekalan topeng muka meningkat di pasaran: KPDNHEP

ISKANDAR HALIM - Bernama
ISKANDAR HALIM - Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekalan topeng muka di pasaran kini meningkat kepada 25 peratus berbanding antara tiga hingga empat peratus sebelum ini, kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

"Ini bermakna daripada 100 kedai yang kita periksa, 25 kedai ada bekalan (topeng muka)," katanya kepada pemberita semasa membuat pemantauan bekalan barangan keperluan di Pasaraya Tesco, IOI City Mall, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, peningkatan bekalan itu masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Menurut Iskandar Halim, permintaan topeng muka di seluruh negara ketika ini termasuk untuk hospital dianggarkan lima juta keping sehari, dengan pengeluaran oleh pengilang tempatan hanya 1.1 juta keping sehari dan selebihnya diimport.

"KPDNHEP juga sentiasa memantau untuk memastikan harga penutup mulut dan hidung tidak melebihi harga maksimum RM1.50 sekeping bagi penutup tiga lapis," katanya sambil menambah, setakat ini pematuhan dalam kalangan peniaga adalah sangat baik.

Bekalan cecair pembasmi kuman juga sudah meningkat di pasaran iaitu hampir 60 peratus.

Dalam pada itu, Iskandar Halim berkata, tiga lelaki dikenakan kompaun berjumlah RM250,000 kerana bertindak menyorok bekalan topeng muka melebihi harga maksimum susulan satu serbuan terhadap sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac lepas.

Sebanyak 223,000 unit penutup dengan tiga lapis bernilai RM446,000 turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan mendapati penutup mulut dan hidung berkenaan disorok untuk dijual melalui media sosial dengan harga yang tinggi iaitu RM3.50 sekeping," katanya

Menurutnya, suspek pertama berumur 31 tahun melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) kerana menjual topeng muka melebihi harga maksimum dan lelaki itu dikenakan kompaun RM50,000.

Suspek kedua dan ketiga yang masing-masing berumur 39 tahun dan 54 tahun pula dikenakan kompaun RM100,000 seorang atas kesalahan mengikut Seksyen 15, Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) kerana menyembunyikan 216,500 unit penutup dengan tiga lapis. - Bernama