X

Kindly register in order to view this article
!

Isytihar import ikan dori tapi bawa masuk keratan ayam

Keratan bahagian ayam sejuk beku bernilai RM265,067.67 diimport dari Hong Kong yang dirampas Maqis Selangor, baru-baru ini.
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Selangor merampas keratan bahagian ayam sejuk beku bernilai RM265,067.67 yang diimport dari Hong Kong, baru-baru ini.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan rutin dilakukan pegawai penguat kuasa di Pintu Masuk Maqis Pelabuhan Klang Barat melibatkan keratan bahagian ayam seberat 27,830 kilogram.

Beliau berkata, kemasukan barangan tersebut bukan sahaja tidak mempunyai permit sah dikeluarkan Maqis, malah barangan diisytiharkan daripada permit import ialah ikan dori, bukannya keratan ayam sejuk beku.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya, pihak Maqis sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke negara ini bagi memastikan setiap keluaran pertanian tiada dijangkiti perosak dan penyakit.

"Ia juga bagi memastikan pengimport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus