Lagi kes Covid-19 kluster asrama pekerja asing di Singapura

 Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan 106 kes jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,481 kes di republik itu. - Foto: Xinhua
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan 106 kes jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,481 kes di republik itu. - Foto: Xinhua
A
A
A

SINGAPURA- Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan 106 kes jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,481 kes di republik itu.

Kes itu antaranya, 39 berkaitan dengan kluster asrama pekerja asing dan 23 kes dikaitkan dengan kluster bukan asrama, menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Dua asrama yang diwartakan sebagai kawasan pengasingan, S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link mempunyai 98 kes yang disahkan manakala sebanyak 34 kes di Westlite Toh Guan di Toh Guan Road East.

MOH memaklumkan tiga kes dilaporkan daripada sektor penjagaan kesihatan awam membabitkan dua jururawat masing-masing di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), manakala satu kes lagi adalah pembantu kesihatan di Poliklinik Hougang.

Mengenai perkembangan terkini keadaan kes-kes yang disahkan, MOH menyatakan 33 kes jangkitan Covid-19 sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, menjadikan keseluruhan 377 kes sudah sembuh.

Daripada 627 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 29 kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

MOH memaklumkan 471 kes yang secara klinikal baik tetapi masih positif ujian Covid-19 masih diasingkan dan dijaga di Concord International Hospital, Mount Elizabeth Hospital, Gleneagles Hospital, Mount Alvernia Hospital dan kemudahan pengasingan komuniti di D’Resort NTUC.

Enam orang telah meninggal dunia berikutan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Setakat 12 tengah hari tadi, MOH telah mengenal pasti 17,819 kontak rapat yang telah dikuarantin. - BERNAMA