Ingkar kuarantin: Korea Selatan pertimbang guna gelang elektrik

Korea Selatan mempertimbangkan untuk menggunakan gelang elektrik bagi menghalang mereka yang dikuarantin, keluar rumah.
Korea Selatan mempertimbangkan untuk menggunakan gelang elektrik bagi menghalang mereka yang dikuarantin, keluar rumah.
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan mempertimbangkan untuk menggunakan gelang elektrik bagi menghalang mereka yang dikuarantin, keluar rumah, kata pegawai hari ini ketika wujud kebimbangan semakin ramai melanggar peraturan dan menyebarkan virus Covid-19.

“Majoriti penduduk mematuhi peraturan kuarantin sendiri, tetapi ada beberapa kes mereka meninggalkan kawasan yang ditetapkan," kata pegawai kanan kementerian kesihatan, Yoon Tae-ho pada taklimat media.

“Kerajaan terpaksa memikirkan pelbagai langkah pencegahan, andai peraturan kuarantin sendiri ini tidak dipatuhi," katanya merujuk kepada penggunaan gelang itu sebagai pilihan.

Pegawai itu bagaimanapun sedar terhadap sentimen negatif berkaitan gelang elektrik itu dengan menyatakan, fokus ketika ini adalah bagi mencari kaedah berkesan sejajar dengan garis panduan kuarantin.

Kenyataan itu dibuat berikutan kebimbangan mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19 keluar dari lokasi kuarantin masing-masing dan menyebarkan virus itu kepada komuniti tempatan lapor agensi berita Yonhap.

Kerajaan ketika ini menggunakan aplikasi telefon bimbit bagi memantau pematuhan kuarantin tetapi banyak kes dilaporkan, penduduk meninggalkan telefon mereka di rumah atau mematikan fungsi sistem pengesanan lokasi GPS masing-masing.

Pihak berkuasa mendapati 75 orang mencabuli peraturan itu setakat ini. Enam daripada mereka sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

Korea Selatan mewajibkan kuarantin sendiri selama dua minggu kepada semua yang tiba dari luar negara bermula Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 46,566 orang termasuk lebih 36,000 yang baru tiba dari luar negara, kini diarahkan mematuhi garis panduan kuarantin sendiri. Jumlah itu dijangka meningkat sehingga lebih 80,000.

Bermula Ahad, kerajaan turut meningkatkan hukuman terhadap mereka yang melanggar peraturan atau memberi maklumat palsu ketika proses kuarantin. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda 10 juta won (AS$8,172).

Hari ini, Korea Selatan mengumumkan 47 kes baharu menjadikan 10,331 orang dijangkiti wabak itu di seluruh negara. - Bernama