X

Kindly register in order to view this article
!

'Lima tahun lagi, buktikan kamu ada di universiti'

Antara paparan video yang tular sejak semalam.
A
A

LENGGONG - "Mak tak dengar, pak saudara tak dengar, apa nak jadi..?

"Saya cabar kamu, tunjukkan lima tahun lagi kamu boleh berjaya, sampai masuk universiti."

Itu antara kata-kata nasihat dizahirkan Ketua Polis Balai Lenggong, Inspektor Mohd Ropiza Hassan terhadap seorang remaja lelaki yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Kuak di sini.

Video perbualan antara pegawai polis bersama remaja berusia 15 tahun itu tular di media sosial sejak jam 9 malam tadi.

Dalam video berdurasi 1 minit 37 saat itu, pegawai berkenaan menegur kedegilan remaja itu yang sudah beberapa kali tertangkap kerana meninggalkan rumah sepanjang tempoh PKP ini.

Difahamkan sikap remaja itu mengundang resah keluarganya yang kemudian meminta pihak polis sendiri datang memberikan amaran dan kata nasihat.

"Kalau sekali tidak mengapa, ini dah tiga empat kali anak buah (anggota polis) beritahu, hari ini dah tangkap lagi sekali. Apa ke hal?

"Kalau tak ada orang lain boleh monitor kamu...Hah dalam lokap biar kami monitor, makan nasi bungkus, duduk rumah batu tak de katil. Kamu nak macam tu?" kata Mohd Ropiza sepertimana dalam video berkenaan.

Beliau turut menasihati remaja berkenaan, sebagai anak sulung dan telah kematian bapa, dia sepatutnya mengutamakan pelajaran dan mengambil peluang tempoh duduk di rumah untuk mengulang kaji pelajaran.

"Belajar betul-betul, (kamu) anak sulung yang lelaki pula tu. Kamu tak fikir ke? Ayah tak de (tiada). Kerajaan bagi masa suruh duduk rumah bacalah buku.

"(Belajar) sampai ke menara gading, bantu keluarga, bukan ikut hati dan perangaimu itu," katanya.

Selari dengan kata nasihat itu, beliau turut memberikan cabaran agar remaja berkenaan bertemunya dalam tempoh lima tahun lagi bagi membuktikan dia mampu berjaya.

"Apa yang saya bagitahu ni kamu ambil. Kamu tunjuk pada saya lima tahun lagi kamu boleh berjaya, sampai masuk universiti.

"Jumpa saya di Balai Lenggong, cakap yang kamu dah berjaya sampai ke IPTA (institusi pengajian tinggi awam), saya cabar kamu macam tu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian itu berlaku di pekarangan rumah keluarga remaja berkenaan sekitar jam 3.30 petang.

Katanya, polis menerima aduan daripada ibu remaja itu meminta anaknya diberikan nasihat agar tidak lagi bersikap sambil lewa terhadap pematuhan PKP.

"Tiada sebarang tindakan diambil terhadap remaja itu, dia hanya diberikan kata nasihat sepertimana diminta oleh ibunya sendiri," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus