'Saya tak pernah mimpi, Anwar mengigau pasal apa?' - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) tidak pernah 'mengigau' mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang 'mengigau' kerana takut kedudukannya diambil alih.

"Semalam, saya dengar ada seorang bagi tahu bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu mimpi. Saya nak maklumkan kepada beliau, saya tidak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu.

"Saya nak beritahu dengan dia, yang hang (Anwar) mengigau itu pasal apa. Saya tidak cakap apa pun," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Menurut Hamzah, dia hanya memaklumkan dalam Parlimen bahawa dirinya yang merupakan Ketua Pembangkang ketika ini bukannya Anwar lagi.

"Yang hang hendak buat cerita bukan-bukan ini pasal apa.Hang Perdana Menteri buat kerja Perdana Menterilah," katanya.

Hamzah berkata, Anwar sendiri yang mendorong dirinya untuk 'bermimpi' dan bercita-cita tentang perkara itu

"Jadi, kita semua berdoa. Insya-ALLAH apa yang dia (Anwar) katakan bahawa kita ada nombor, bahawa kita ada angka, bahawa kita ada jumlah pada ahli Parlimen. Beliau yang berdoa, insya-ALLAH doanya akan tercapai (bahawa) kita ada angka untuk ambil alih (kerajaan) daripada dia. Padan muka dia," katanya.

"Kita berdoa ramai-ramai bahawa masa depan kita akan lebih baik dengan adanya pemimpin-pemimpin daripada kalangan kita (PN)," katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan komplot untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan berjaya meskipun pihak terbabit mengakui mempunyai akaun bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga habis penggal walaupun ada cubaan untuk menjatuhkannya

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun turut menyindir dakwaan yang dibuat itu sambil menyatakan perkara itu sebagai 'mengigau mingguan'.