Jaminan pekerjaan, kesinambungan kewangan tumpuan utama kerajaan

Anggota Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan mempergiatkan semburan sanitasi di persekitaran sebuah pasar. -Foto Bernama
Anggota Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan mempergiatkan semburan sanitasi di persekitaran sebuah pasar. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memandangkan koronavirus (Covid-19) terus menjejaskan ekonomi global dengan Malaysia tidak terkecuali, kerajaan telah menjadikan kestabilan kesihatan dan ekonomi sebagai agenda utamanya dalam menghadapi tempoh mencabar ini.

Seorang penganalisis berkata, pengumuman tambahan RM10 bilion di bawah Prihatin Tambahan daripada RM250 bilion yang diumumkan sebelum ini akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pekerja mereka secara keseluruhannya dan akan melindungi jutaan pekerjaan dalam semua sektor.

“Langkah bersasar ini akan meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh PKS hari ini selain memastikan jaminan pekerjaan dan kesinambungan kewangan perniagaan serta pekerja dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Langkah itu juga akan menyokong industri walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir. Ini dilihat sebagai langkah yang berpandangan jauh daripada kerajaan yang bukan hanya untuk menangani situasi Covid-19, tetapi turut untuk mengatasi impak kemelesetan daripadanya,” katanya.

Malaysia telah melaksanakan PKP sejak 18 Mac dan fasa semasa akan berterusan hingga 14 April.

Minggu lepas, Bank Negara Malaysia dalam taklimatnya berkata pengangguran dijangka meningkat kepada empat peratus daripada 3.3 peratus pada masa ini berikutan Covid-19 dan cabaran global.

Mengenai situasi fiskal, penganalisis berkata, pada masa ini, kerajaan digalakkan untuk meningkatkan perbelanjaan walaupun defisit mungkin meningkat kepada empat peratus dalam jangka masa pendek.

“Jika kita melihat daripada krisis sebelum ini yang telah kita tangani, termasuk Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008 dan pandemik SARS 2003, kerajaan sentiasa meningkatkan perbelanjaannya untuk meningkatkan ekonomi tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun defisit meningkat pada tahun berikutnya, manfaat berganda daripada pakej rangsangan baharu akan berterusan pada tahun berikutnya, yang membawa kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik,” katanya.

PKS yang menyumbang sebanyak 98.5 peratus daripada perniagaan dengan kira-kira enam juta pekerja di seluruh negara menjadi segmen ekonomi yang paling terjejas. Mereka mencari keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kesinambungan perniagaan dan bantuan daripada kerajaan amat diperlukan untuk memastikan mereka dapat menghadapi tempoh sukar ini.

PKS menggaji segmen tenaga kerja tempatan yang besar selain menyumbang lebih satu pertiga daripada KDNK serta memainkan peranan penting dalam memastikan kemajuan rantaian bekalan untuk syarikat korporat yang lebih besar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan perniagaan dan memastikan kesinambungan pekerjaan jutaan rakyat Malaysia menyatakan kerajaan akan terus memastikan perbelanjaan fiskal yang berhemat dan akan membentangkan belanjawan tambahan pada sidang Parlimen yang akan datang.

Parlimen dijangka kembali bersidang pada 18 Mei selepas ditangguhkan berikutan krisis kesihatan Covid-19. - Bernama