40,000 pengunjung hayati keunikan seni budaya di Melaka

MELAKA - Kemeriahan Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 (FSSSM) di Dataran Pantai Tanjung Bidara di sini terserlah apabila kira-kira 40,000 pengunjung membanjiri lokasi berkenaan sepanjang tiga hari penganjurannya.
Festival yang berlangsung dari 18 hingga 20 September itu bukan sahaja menyajikan pelbagai persembahan seni dan kebudayaan, malah mengetengahkan identiti Melaka menerusi persembahan dondang sayang, zapin dan tarian baba dan nyonya.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, sambutan diterima terhadap penganjuran kali ini amat menggalakkan, sekali gus membuktikan program pelancongan budaya mampu menarik masyarakat untuk menikmati seni dan warisan tempatan.
“Mereka bukan sahaja datang untuk menyampaikan masalah rakyat melalui program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), tetapi juga untuk menikmati persembahan kebudayaan yang sinonim dengan penganjuran Festival Seni Selat dan Sungai Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara FSSSM 2026 di Dataran Pantai Tanjung Bidara di sini pada Sabtu.
Katanya, FSSSM 2026 yang mengangkat tema ‘Mulanya di Sini... Pusat Pertemuan Budaya’ turut menampilkan Malam Budaya Tanjung Bidara dengan persembahan artis tempatan, kumpulan kesenian serta penglibatan kira-kira 1,000 peserta dalam persembahan zapin, joget dan dondang sayang.

Katanya lagi, kemeriahan festival turut diserikan dengan persembahan yang mengetengahkan identiti ter- sendiri dan keunikan Melaka kepada pengunjung.
“Selain persembahan pentas, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk Tempur Cabaran Joget X Zapin, Ratu Kebaya Selat Melaka, Pencarian Suara Datuk Jamal Abdillah, Pertandingan Bintang Irama Selat Melaka, aktiviti sukan air dan Mini Fun Ride.
“Segmen keilmuan turut diadakan menerusi sesi audio siar yang membincangkan pelbagai topik berkaitan seni dan budaya, selain demonstrasi serta pengedaran Nasi Lemak Kukus Melaka,” ujar beliau.
Mohd Amran berkata, FSSSM merupakan program pelancongan budaya anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM) serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
“Program ini menyokong dan menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan merupakan penganjuran kesembilan daripada 15 siri program pelancongan budaya yang dianjurkan JKKN bermula Februari hingga November tahun ini.
“Selepas Melaka, siri program pelancongan budaya berkenaan akan diteruskan di Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, setiap negeri mengetengahkan program dengan tema serta identiti tersendiri berdasarkan keunikan budaya dan warisan setempat.
REAKSI

“Pada pandangan saya penganjuran program ini sangat baik dan bertepatan dengan semangat perpaduan Malaysia. Saya bersyukur kerana membawa pulang motosikal melalui cabutan bertuah.” Pemandu e-hailing, P Jaya Balan, 39.

“Program ini mendedahkan budaya Melaka kepada anak-anak. Pengisian program juga tidak membosankan, saya berharap ia dapat diadakan dari semasa ke semasa.” Suri rumah, Goh Yoke Lan, 45.

“Acara ini menarik dan menyeronokkan terutama melihat anak-anak muda turut menggayakan busana mengikut tema seni dan budaya. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.” Bekerja sendiri, Aera Md Yaman, 40.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

