Anak muda jayakan Festival Budaya Selangor 2026

A
A
A

Tetamu kehormat bergambar bersama penari pada malam kemuncak festival.
Tetamu kehormat bergambar bersama penari pada malam kemuncak festival.

KUALA LANGAT - Penglibatan anak muda yang mendominasi persembahan pentas Festival Budaya Selangor 2026 menjadi petunjuk positif terhadap perkembangan seni dan budaya negeri itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar berkata, sebahagian besar persembahan pada malam perasmian festival berkenaan dijayakan generasi muda.

Menurutnya, persembahan muzik cempuling turut memperlihatkan penglibatan pelbagai generasi apabila menghimpunkan pemain dalam kalangan dewasa, remaja dan kanak-kanak.

“Khusus di Selangor pada tahun ini, kita mengangkat cempuling sebagai identiti festival budaya. Apa yang dihidangkan di pentas tadi keseluruhannya menampilkan identiti Selangor dan dijayakan anak-anak seni negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Pelancongan Budaya: Festival Budaya Selangor 2026 yang disempurnakan Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, di sini pada Sabtu.

Mohd Radzi berkata, festival itu dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang penganjuran, dengan sambutan menggalakkan khususnya pada hari ketiga memberi harapan jumlah berkenaan mampu melepasi sasaran.

Artikel Berkaitan:

Persembahan mendebarkan pengunjung pada Festival Budaya Selangor 2026.
Persembahan mendebarkan pengunjung pada Festival Budaya Selangor 2026.

“Sepanjang penganjuran, ramai yang mengunjungi festival ini. Sejak awal pagi hingga malam ini, ada ibu bapa yang membawa anak-anak,” katanya.

Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi JKKN dengan kerjasama kerajaan negeri itu bermula 10 pagi hingga 11 malam dari 16 hingga 20 September 2026, di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, di sini.

Tambahnya, penganjuran kali ketiga itu mengetengahkan kepelbagaian seni budaya sembilan daerah di Selangor, dengan irama cempuling serta persembahan tradisi diberi nafas baharu berlatarbelakangkan keindahan pesisir pantai.

Malam perasmian turut diserikan persembahan istimewa ‘Emas 9’ membabitkan 100 peserta yang menampilkan keunikan warisan setiap daerah menerusi gabungan elemen muzik, tari, bahasa, busana dan adat resam.

Antara aktiviti sepanjang festival ialah Pasar Klasik, Floating Market @ Sand, Ghost Fun Run, Dapur Panas ‘Emas 9’, aktiviti Kacau Dodol Malon, Laman Santai Family serta Perkampungan Budaya Campervan.

Persembahan tarian naga memukau pengunjung yang hadir.
Persembahan tarian naga memukau pengunjung yang hadir.

Pelbagai pertandingan turut diadakan antaranya Gema Cempuling, Wau Kapal, Futsal Kain Sarong, Sukan Rakyat, Senam Seni Pantai, Demonstrasi Silat dan Silambam di Pantai, Tanglung, Karom Warrior, Marhaban, Tarian India serta Masakan Tradisi.

Pengunjung turut disajikan Konsert Malaysia Kita bersama Samudera sempena Hari Malaysia pada 16 September, Konsert Nostalgia XPDC, Konsert Rakyat bersama Drama Band dan Artis Hits 90-an, selain persembahan naga elektronik, kuda kepang serta Wayang Kulit Jawa Selangor.

Festival itu turut membabitkan 110 pengusaha dan 15 rakan penaja serta pameran interaktif pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan seni budaya, manakala pengunjung digalakkan mengenakan pakaian tradisional atau klasik mengikut etnik masing-masing bagi menyemarakkan suasana.

Mengulas penganjuran festival budaya di seluruh negara, beliau berkata, masih berbaki lima lokasi iaitu Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak, dengan Johor menjadi destinasi seterusnya pada minggu berikutnya.

REAKSI

LIM XINLU
LIM XINLU

“Program ini menceritakan kisah rakyat Malaysia berbilang kaum. Saya bangga menjadi anak Malaysia, saya hadir untuk menyaksikan kemeriahan festival ini.”- Lim Xinlu,15

ASNAWI
ASNAWI

“Festival seni dan budaya seperti ini perlu diteruskan kerana melaluinya kita dapat mendidik golongan muda menghargai dan meneruskannya untuk generasi seterusnya.”- Asnawi Nozyanto, 37

THEVENDRAN
THEVENDRAN

“Saya terpilih menjadi sukarelawan pada festival ini secara tidak langsung dapat membantu saya mengenali kepelbagaian budaya serta seni sesuatu bangsa yang perlu dijaga agar ianya tidak luput ditelan zaman.”- Thevendran Sivanes, 19

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!