Cikgu Kamil tawar motivasi percuma pelajar atas talian

Program MOTS menekankan motivasi untuk mendorong seseorang pelajar itu memecahkan tembok penghalang dalam diri, membuang sikap negatif dan percaya mereka juga boleh berjaya jika mempunyai keazaman tinggi.
Program MOTS menekankan motivasi untuk mendorong seseorang pelajar itu memecahkan tembok penghalang dalam diri, membuang sikap negatif dan percaya mereka juga boleh berjaya jika mempunyai keazaman tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Malaysia susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19), pelbagai bantuan dan sumbangan dihulurkan dalam pelbagai bentuk bagi membantu ramai pihak khususnya pasukan barisan hadapan dan mereka yang terjejas akibat PKP.

Bagaimanapun, berbeza dengan Pengasas Superneuron, Mohd Kamil Idris atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kamil, 44, beliau mengambil inisiatif memberikan sokongan motivasi pendidikan berikutan pelajar-pelajar tidak dapat ke sekolah, apatah lagi apabila segelintir mereka tiada dorongan untuk membuat ulang kaji atau latihan sendiri di rumah.

Melalui inisiatif itu, Cikgu Kamil melakukan khidmat masyarakat Superneuron Covid-19 dengan menyediakan platform Motivasi Online Teknik Superneuron (MOTS) secara percuma kepada semua pelajar sehingga 30 April ini yang menyasarkan anak-anak berusia 8 tahun ke atas dan juga sesuai untuk ibu bapa.

"MOTS ini menyediakan motivasi dalam bentuk video bertajuk Software Minda Superneuron berdurasi dua jam yang mengandungi 10 bahagian termasuk soalan.

"Kandungannya menekankan motivasi untuk mendorong seseorang pelajar itu memecahkan tembok penghalang dalam diri, membuang sikap negatif dan percaya mereka juga boleh berjaya jika mempunyai keazaman tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kandungan dalam MOTS ini juga sudah melalui penyelidikan & pembangunan (R&D) selama tujuh tahun dan ia juga sudah menunjukkan keberkesanan.

"Lebih 22,000 murid sebelum ini sudah memperoleh manfaat daripada teknik ini dan memberi maklum balas positif selepas mereka menghabiskan kesemua bahagian/topik dalam MOTS, malah mereka juga menunjukkan perkembangan lebih baik dalam pelajaran," katanya.

Katanya, dengan akses motivasi secara percuma yang diberikan itu, beliau berharap ibu bapa dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamil berkata, ibu bapa hanya perlu klik link https://superneuronmots.wasap.my bagi mendapatkan ID dan kata laluan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan membuat saringan ringkas dengan bertanyakan soalan asas berkaitan kepada ibu bapa sebelum akses kepada MOTS diberikan.

Dalam pada itu, Mohd Kamil turut menyeru sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran tertentu untuk memanfaatkan dengan memberikan semula kepada masyarakat khususnya dalam tempoh kritikal ini.

"Memberi bantuan dan sumbangan bukan terhad kepada bentuk duit dan barangan tetapi dalam pelbagai cara termasuk kemahiran dan ilmu.

"Saya tak dapat bantu melalui duit tapi saya cuba bantu melalui kemahiran yang saya miliki dengan cara ini," katanya.