Tujuh lelaki berparti ketika PKP didenda RM900

Tujuh lelaki yang ditahan ketika berparti, minggu lalu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan ingkar PKP hari ini.
Tujuh lelaki yang ditahan ketika berparti, minggu lalu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan ingkar PKP hari ini.
A
A
A

IPOH - Tujuh lelaki yang ditahan kerana terlibat dalam parti hiburan, Khamis lalu, mengaku salah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua tertuduh berusia 19 hingga 24 tahun itu didenda RM900 selepas disabitkan kesalahan mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Majistret Mohammad 'Afifi Mohammad turut membenarkan jaminan sejumlah RM1,000 dikenakan terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun yang dituduh bersama-sama.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Remaja perempuan berusia 15 tahun (dua dari kanan) yang didakwa bersama tujuh lelaki dibenarkan diikat jamin RM1,000 oleh Mahkamah Majistret.
Remaja perempuan berusia 15 tahun (dua dari kanan) yang didakwa bersama tujuh lelaki dibenarkan diikat jamin RM1,000 oleh Mahkamah Majistret.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama didapati berhimpun untuk tujuan bersosial dalam kawasan tempat jangkitan di sebuah homestay di Jalan Kuala Kangsar pada jam 2.50 pagi, 2 April lalu.

Mohammad 'Afifi menjatuhkan hukuman itu setelah mengambil kira faktor kepentingan awam.

"Kita sudah masuk fasa kedua PKP dan perkara ini semakin serius dengan peningkatan kes dan kadar kematian akibat wabak.

"Tetapi tindakan kamu seolah-olah tidak mempedulikan perintah dikeluarkan kerajaan hingga boleh menjadikan ia bertambah serius. Setakat semalam sudah berpuluh kes kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Awatif Ahmad Bashir.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan tangkapan tujuh lelaki dan seorang perempuan yang leka berhibur di sebuah bilik dengan bunyi muzik kuat dalam serbuan Ops Cantas Covid-19, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

ARTIKEL BERKAITAN: Kan dah kena tangkap, parti tak kena waktu!