Pandu van dalam keadaan mabuk sebelum terbabas

JASIN - Seorang lelaki bertindak berbahaya apabila memandu dalam keadaan mabuk sehingga van dipandunya terbabas di bahu jalan.
Video berdurasi 24 saat itu tular sejak malam Isnin dan dipercayai dirakam di Jasin, di selekoh selepas penjara menghala ke simpang Kerayong.
Rakaman tersebut memaparkan keadaan lelaki berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dalam keadaan separa sedar dan hanya tersenyum selepas van dipandunya terbabas.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain atau sebaliknya.
“Tengok kawan kau, buat hal. Bawa van dalam keadaan mabuk, tak tentu arah, kuat bau dia minum,” kata wanita yang merakam video tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan penularan video berkenaan.
“Untuk makluman, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian ini. Namun, pada awal pagi tadi, pihak kami mengesan video tular di Facebook.
“Pasukan siasatan trafik dan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah ke lokasi selepas melihat video tersebut, namun mendapati pemandu serta kenderaan terbabit sudah tiada di lokasi,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki memandu van dalam keadaan mabuk sehingga terbabas di bahu jalan.
- Video insiden berdurasi 24 saat tular dan dipercayai dirakam di Jasin.
- Rakaman menunjukkan lelaki dalam lingkungan 20-an hingga 30-an kelihatan separa sedar dan tersenyum selepas kemalangan.
- Ketua Polis Jasin sedang menjalankan siasatan walaupun tiada laporan diterima mengenai insiden.
- Pasukan polis tidak menemui pemandu dan kenderaan di lokasi selepas melihat video tular.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

