Cadangan mengklasifikasikan kes memandu mabuk sehingga menyebabkan kematian sebagai 'culpable homicide'

SAYA memandang serius peningkatan kes kematian akibat pemandu mabuk yang semakin membimbangkan dan mengundang kemarahan rakyat.
Setiap nyawa yang terkorban bukan sekadar statistik, tetapi satu kehilangan besar kepada keluarga dan masyarakat.
Sehingga hari ini, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kematian masih kebanyakannya didakwa di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan.
Walaupun hukuman telah diperketatkan, realitinya kes-kes seumpama ini masih berulang. Ini menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada belum cukup memberi kesan pencegahan yang efektif.
Justeru, saya mencadangkan agar kesalahan memandu mabuk yang menyebabkan kematian diklasifikasikan semula sebagai satu bentuk culpable homicide not amounting to murder, selaras dengan prinsip undang-undang jenayah yang mengiktiraf perbuatan berbahaya yang dilakukan dengan pengetahuan risiko sebagai satu kesalahan serius terhadap nyawa manusia.

Dalam konteks ini, seseorang yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk tidak boleh lagi dilihat sekadar cuai. Tindakan tersebut adalah satu keputusan sedar yang diketahui berpotensi tinggi menyebabkan kematian.
Elemen “knowledge” atau kesedaran terhadap risiko inilah yang menjadi asas kepada konsep culpable homicide.
Mahkamah dalam beberapa kes terdahulu telah menegaskan bahawa kecuaian melampau yang menunjukkan sikap tidak mengendahkan keselamatan orang lain boleh mencapai tahap liabiliti jenayah yang lebih serius.
Dalam kes Public Prosecutor v. Tan Chor Jin, mahkamah menekankan bahawa tindakan berbahaya yang dilakukan dengan kesedaran terhadap akibatnya boleh membawa kepada pertuduhan yang lebih berat daripada sekadar kecuaian biasa.
Prinsip yang sama juga boleh dilihat dalam kes tempatan seperti PP v. Mohd Ridzwan bin Mohd Ali, di mana mahkamah menilai tahap kecuaian dan risiko yang diketahui oleh tertuduh.
Cadangan ini bukan bertujuan untuk menghukum secara melulu, tetapi untuk memperbetulkan kedudukan undang-undang agar selari dengan tahap keseriusan perbuatan tersebut.
Ia juga penting bagi memastikan mesej yang jelas dihantar kepada masyarakat bahawa memandu dalam keadaan mabuk bukan lagi satu kesalahan trafik semata-mata, tetapi satu perbuatan yang boleh meragut nyawa dan mesti dipertanggungjawabkan setimpal.
Namun, saya juga menegaskan bahawa sebarang pindaan undang-undang perlu dirangka dengan teliti agar tidak membebankan pembuktian pihak pendakwaan secara tidak realistik.
Oleh itu, pendekatan terbaik adalah dengan mewujudkan kategori khusus yang menggabungkan elemen memandu mabuk dan menyebabkan kematian, dengan ambang pembuktian yang jelas serta hukuman yang setimpal.
Nyawa manusia tidak boleh dinilai dengan ringan. Undang-undang kita mesti berkembang seiring dengan arealiti dan memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarga mereka.
** YB Nurul Syazwani Tan Sri Noh ialah Ahli Dewan Negeri Permatang, Selangor dan peguam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
