Pengantin ikut SOP akad nikah ketika PKP

Pasangan pengantin Abdul Khalib Abdullah, 27, menyampaikan mas kahwin kepada isterinya Nurul Fatihah Mat Husin, 27, selepas selesai akad nikahnya di Kampung Bukit hari ini.-fotoBERNAMA
Pasangan pengantin Abdul Khalib Abdullah, 27, menyampaikan mas kahwin kepada isterinya Nurul Fatihah Mat Husin, 27, selepas selesai akad nikahnya di Kampung Bukit hari ini.-fotoBERNAMA
A
A
A

PASIR PUTEH - Sepasang pengantin di Kampung Bukit di sini tetap meraikan hari bahagia walaupun dengan hanya mengadakan majlis akad nikah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa ketika ini.

Menariknya, hari bahagia bagi Abdul Khalib Abdullah, 27, dan pasangannya, Nurul Fatihah Mat Husin, 27, hanya dihadiri kira-kira 10 orang daripada kedua-dua belah keluarga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Selain itu, kedua-dua mereka yang merupakan eksekutif di syarikat swasta di Kuala Lumpur, turut mengenakan topeng muka selain pihak keluarga pengantin wanita menyediakan cecair pembersih tangan di sepanjang majlis berlangsung serta menjaga jarak sosial 1 meter.

Pasangan itu selamat diijabkabulkan pada kira-kira jam 10 pagi oleh Imam Masjid Bukit Jeram, Solahuddin Ali, 52, tanpa bersalam.

Pengantin lelaki Abdul Khalib Abdullah, 27, hanya melafazkan akad nikah tanpa bersalaman dengan Tok Iman Mukim Bukit Jeram Solahuddin Ali, 52, ketika melangsungkan pernikahannya bersama pengantin perempuan Nurul Fatihah Mat Husin, 27, di Kampung Bukit hari ini.-fotoBERNAMA

Sementara itu, Abdul Khalib, yang berasal dari Kampung Kebakat, Tumpat berkata, dia dan pasangannya telah lama merancang perkahwinan itu dan segala dokumen yang diperlukan untuk majlis berkenaan telah diselesaikan Januari lepas.

Dia tidak mahu menangguhkan urusan perkahwinannya kerana segala dokumentasi telah lengkap dan jurunikah tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan majlis akad nikah pada hari ini.

"Kalau diikutkan, hari ini selain majlis akad nikah, kenduri juga sepatutnya diadakan namun kerana PKP, kenduri itu terpaksa dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak keluarga isteri belum menentukan tarikh untuk mengadakan kenduri manakala bagi pihak saya pula dijangka pada hari ketiga Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Khalib berkata, dia bersyukur urusan perkahwinannya dipermudahkan dan tiada halangan daripada polis ketika pulang ke kampung halaman pada 31 Mac lepas.

"Saya sebelum ini membuat permohonan di sebuah balai Polis di Bangi, Selangor, untuk pulang ke kampung bagi urusan perkahwinan ini dan pegawai bertugas memaklumkan hanya perlu menunjukkan dokumen perkahwinan sahaja di sekatan jalan raya," katanya. - Bernama