UPM bangun lima robot bantu proses nyahkuman

Robot UPM dibangunkan yang dijangka siap minggu depan. -Foto ihsan UPM
Robot UPM dibangunkan yang dijangka siap minggu depan. -Foto ihsan UPM
A
A
A

SERDANG – Sekumpulan pakar robotik dari Makmal Robotik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang dalam proses membangunkan lima buah robot untuk proses nyahkuman daripada risiko koronavirus (Covid-19) yang dijangka siap pada minggu hadapan.

Ketua projek, Profesor Madya Ts Dr Wan Zuha Wan Hasan dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan UPM berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19, robot itu amat diperlukan untuk kegunaan pelbagai unit Pasukan Tindakan Kecemasan bagi mengelak jangkitan kepada petugas barisan hadapan.

“Untuk operasi fasa pertama, lima buah robot yang siap ini akan digunakan di kawasan kampus UPM seperti bilik dan dewan kuliah, dewan UPM, kolej penginapan, pejabat-pejabat di UPM, Hospital Pengajaran UPM dan kawasan berisiko yang menjadi tumpuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumpulan beliau dibantu oleh Profesor Madya Dr Suhaidi Shafie, Profesor Madya Dr Norhafiz Azis, Dr Mohd Nazim Mohtar, Muhammad Farhan Mustafa, Muhammad Hazman Shahul Hameed, Alireza Ahmadi dan Hassan Messar Qassim Alaswad.

Wan Zuha berkata, untuk fasa kedua, pihak mereka juga boleh menawarkan perkhidmatan nyahkuman, 'food serve' dan 'thermal imager' oleh robot UPM kepada hospital-hospital awam berdekatan sekiranya terdapat permintaan dan dana daripada pihak luar yang berminat.

“Kami hadapi kekangan bajet untuk projek pembangunan robot ini. Sekiranya ada pihak luar yang berminat untuk bantu kami menaiktaraf projek penyelidikan robot ini ke peringkat yang komprehensif, saya amat mengalu-alukan,” katanya.

Menurut beliau, bekalan dan perkhidmatan pembinaan robot hasil kolaborasi dengan Ketua Innovatech Solution Enterprise, Mohd Hasimi Mohd Sidek yang merupakan sebuah syarikat alumni UPM.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesor Ir Ts Dr Nor Kamariah Nordin berkata, robot tersebut diubahsuai daripada robot sedia ada yang telah digunakan dalam satu pertandingan robot antara universiti (UROCK2019) yang telah berlangsung pada 21 hingga 22 September 2019 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis.

Artikel Berkaitan:

"Team Robot UPM telah berjaya merangkul naib juara dalam kategori Cooperative Robot Challenge (CRC)," katanya.

“Pengubahsuaian ini melibatkan penambahan sistem nyahkuman yang perlu dipasang kepada robot tersebut.

“Dalam keadaan PKP, saya difahamkan kumpulan tersebut sukar memperoleh peralatan membina robot. Walau bagaimanapun, mereka akan cuba mereka bentuk sistem nyahkuman dengan peralatan sedia ada di makmal dan pembelian peralatan penting dari Lazada atau Shoope,” katanya.