Libat wanita dalam proses buat keputusan berkaitan penyesuaian iklim

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Dunia Tiga Tahun Sekali, Persidangan Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW). - Foto Bernama
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Dunia Tiga Tahun Sekali, Persidangan Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kaum wanita seharusnya dilibatkan dalam proses membuat keputusan yang melibatkan penyesuaian dan pengurangan bahaya berkaitan iklim, kerana mereka juga terkesan dengan natijah perubahan iklim itu, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bertitah pada edisi ke-30 Persidangan Dunia Tiga Tahun Sekali, Persidangan Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW), Tengku Hassanal bertitah, suara wanita perlu didengar di semua peringkat membuat keputusan daripada perancangan sehingga peringkat pelaksanaan.

"Ia juga penting untuk memastikan wanita mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk penjagaan kesihatan reproduktif, dan keperluan kesihatan mereka diambil kira dalam usaha penyesuaian dan pengurangan bahaya berkaitan perubahan iklim,” titah baginda pada majlis pelancaran itu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan perasmian persidangan itu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat pada majlis itu.

Tengku Hassanal bertitah, ACWW telah menekankan bahawa perubahan iklim boleh memberi impak yang besar, terutamanya kepada kesihatan wanita, sehubungan itu baginda bertitah menangani kesan khusus jantina akibat perubahan iklim, akan mewujudkan suasana yang lebih saksama dan mampan untuk semua.

"Inilah tugas-tugas yang dilaksanakan ACWW di peringkat tempatan, kebangsaan serta antarabangsa, dan ia akan terus dilaksanakan dengan baik pada masa hadapan. Anda mendapat sokongan dan iringan doa saya,” titah baginda.

Turut hadir di majlis ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

ACWW ditubuhkan pada tahun 1929 untuk menyatukan wanita luar bandar dan organisasi mereka di seluruh dunia, di samping berusaha menangani cabaran yang dihadapi akibat isolasi komuniti, diskriminasi dan terpinggir dalam proses politik.

Keahlian ACWW merangkumi 82 negara, dan sejak 1947, persatuan itu telah meluluskan lebih 180 resolusi dasar melalui undian popular. - Bernama