Pakaian hari raya baharu bawa kegembiraan buat murid kurang bernasib baik

IPOH - Program sumbangan pakaian Hari Raya Aidilfitri kepada murid dalam kalangan golongan kurang berkemampuan nyata membawa kegembiraan dan meringankan beban keluarga penerima.
Ibu tunggal, Nor Azni Aminuddin, 39, berkata, bantuan diterima anaknya, Nur Alya Maisara, 8, merupakan kali pertama mereka menerima sumbangan seumpama itu.
Dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kecil untuk menyara dua anak selepas kematian suami kira-kira tiga tahun lalu sangat bersyukur dengan pemberian tersebut.
"Memang susah, nak bekerja pun fikir nak tinggalkan anak dengan siapa. Anak saya yang ini pula menghidap Angelman Syndrome dan bergantung sepenuhnya kepada saya.
"Sebelum ini kami kumpul sikit-sikit sahaja duit hasil berniaga kecil-kecilan untuk beli baju raya. Bantuan ini memang sangat membantu,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Tambahnya, keperluan rawatan anaknya yang memerlukan terapi berkala turut menjadi cabaran apabila kos rawatan di pusat swasta mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Rawatan di hospital ada, tapi kalau nak lebih kerap dan cepat perkembangan, kena buat di swasta.
"Kalau buat di pusat rawatan swasta kos memang tinggi, jadi saya tak mampu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui terkejut apabila dimaklumkan pihak sekolah mengenai bantuan tersebut kerana tidak pernah menerimanya sebelum ini.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jati, Azlina Ibrahim Lastar berkata, seramai 20 murid dari sekolah itu menerima sumbangan berkenaan yang disasarkan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan.
Menurutnya, program tersebut memberi peluang kepada murid terlibat merasai kemeriahan Aidilfitri seperti rakan-rakan lain.
“Mereka akan rasa dihargai dan tidak dipinggirkan. Kami amat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan ini yang sudah masuk tahun keempat,” katanya.
Guru Besar SK Tanjung Rambutan, Lily Hafidza Mohamad Izaha pula memaklumkan, seramai 15 murid dari sekolah itu dipilih berdasarkan latar belakang sebagai anak yatim dan keluarga berpendapatan rendah.
Katanya, program seperti itu bukan sahaja membantu dari segi keperluan, malah memberi kegembiraan kepada murid dalam menyambut lebaran.
"Ini satu program yang sangat baik kerana menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak ini agar mereka turut merasai kebahagiaan Aidilfitri," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, wakil Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Nur Izzaihan Zahar berkata, program tersebut memasuki tahun keempat penganjuran dengan penglibatan seramai 65 murid daripada empat sekolah.
Menurutnya, setiap murid menerima peruntukan kira-kira RM200 bagi membeli kelengkapan hari raya.
"Kita rasa gembira bila dapat membantu dan melihat mereka turut gembira.
"Ini antara usaha untuk meringankan beban golongan memerlukan," katanya.
Beliau menambah, pihaknya berhasrat meneruskan program tersebut pada masa akan datang susulan permintaan yang semakin meningkat daripada sekolah-sekolah lain.
Ringkasan AI
- Program sumbangan pakaian Hari Raya Aidilfitri membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan
- Ibu tunggal, Nor Azni Aminuddin bersyukur atas bantuan diterima untuk anaknya yang menghidap Angelman Syndrome
- Bantuan diperlukan untuk menampung kos rawatan anaknya di pusat terapi swasta yang memakan belanja ribuan ringgit
- Seramai 20 murid dari Sekolah Kebangsaan Jati dan 15 murid dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Rambutan menerima sumbangan ini
- Program sumbangan ini memasuki tahun keempat, dengan 65 murid daripada empat sekolah menerima kira-kira RM200 setiap satu untuk kelengkapan hari raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

