Kerajaan disaran haramkan pembakaran mercun, bunga api sempena hari raya - Salimah

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengharamkan pembakaran mercun dan bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan pembaziran serta memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Aminah Zakaria berkata, amalan tersebut dilihat tidak wajar khususnya dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi dunia susulan konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
Menurutnya, selain pembaziran ia juga bukanlah budaya Melayu Islam.
"Di saat saudara Muslim mengharapkan sumbangan dan ihsan, kita sepatutnya menunjukkan solidariti terhadap penderitaan mereka.
"Setiap ringgit yang dibakar jika dikumpulkan mampu memberi makan dan kegembiraan kepada mereka yang lebih memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Aminah, pihaknya juga berharap undang-undang dan peraturan yang lebih ketat untuk penjualan mercun dan bunga api dapat diwujudkan.
Menurutnya, masyarakat seharusnya mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah, khususnya ketika musim perayaan.
"Kami ingin menyatakan sokongan penuh terhadap saranan yang dikeluarkan Presiden Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid agar rakyat Malaysia menghentikan budaya membakar mercun dan bunga api sempena sambutan perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri ataupun sambutan Tahun Baharu.
"Lebih baik mengutamakan golongan yang lebih memerlukan daripada membazirkan wang untuk hiburan yang tidak wajar dan tidak kekal," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan disarankan mengharamkan pembakaran mercun dan bunga api sempena Hari Raya Aidilfitri untuk elak pembaziran dan memupuk nilai keprihatinan
- Amalan pembakaran mercun dilihat tidak wajar terutamanya dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi dunia
- Pembakaran mercun bukan budaya Melayu Islam dan wang sepatutnya digunakan untuk membantu yang lebih memerlukan
- Saranan untuk undang-undang dan peraturan yang lebih ketat bagi penjualan mercun dan bunga api
- Masyarakat harus berjimat cermat dan mengutamakan keperluan orang yang lebih memerlukan semasa musim perayaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

