Pasar tani Shah Alam beroperasi Ahad ini

Izham Hashim
Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Tapak perkarangan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 akan menjadi lokasi bagi penganjuran pasar tani sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Ahad ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan penganjuran pasar tani tetapi melibatkan kawalan keselamatan lebih ketat berbanding hari biasa.

Menurut beliau, selain berkunjung ke lokasi tapak pasar tani, orang ramai juga boleh menggunakan kaedah pembelian pandu lalu, penghantaran ke rumah atau pre-order.

"Mereka boleh walk-in, tetapi mungkin mengambil masa kerana jumlah tertentu sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

"Jadi saya menggalakkan orang ramai melakukan pembelian dengan kaedah pandu lalu, penghantaran ke rumah atau pre-order," katanya menerusi rakaman siaran langsung di laman Facebook rasminya semalam.

Dalam pada itu, Izham berkata, susulan penularan wabak Covid-19 ini, Kerajaan Selangor akan meneruskan pelaksanaan Selangor Agro Market secara atas talian dan pre-order.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan wang berjumlah RM1 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menguruskan inisiatif tersebut.

"Saya juga meminta semua usahawan tani, agro-kultur, pemain industri terlibat supaya dapat berhubung dengan FAMA bagi membolehkan kami membantu memasarkan produk mereka sepanjang PKP ini," katanya.

Artikel Berkaitan: