Pelepasan kargo bukan keperluan asas sehingga 7 April

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat yang menyimpan kargo barangan bukan keperluan asas di pelabuhan-pelabuhan utama negara digesa memindah keluar barangan berkenaan mulai esok sehingga Selasa depan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, susulan rundingan dengan Majlis Keselamatan Negara, kementerian bersetuju melanjutkan proses pelepasan kargo itu selama empat hari lagi bagi mengelak kesesakan di pelabuhan-pelabuhan utama negara.

Pelabuhan tersebut ialah Pelabuhan Klang di Selangor serta pelabuhan utama di Johor, Pulau Pinang, Kuantan di Pahang, Melaka, Bintulu di Sarawak dan Padang Besar, Perlis yang bersempadan dengan Thailand, katanya.

"Sepertimana keputusan terdahulu pada 26 Mac 2020, usaha ini (pelepasan kargo) terbukti berkesan dari segi mengurangkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan utama negara yang telah mencecah ruang kapasiti hampir 100 peratus," katanya.

Menurut Ka Siong, demi kelancaran pergerakan itu, kerja-kerja pelepasan barangan bukan keperluan asas di pelabuhan-pelabuhan utama negara perlu dipercepatkan dan perkembangannya akan dipantau dari semasa ke semasa.

Ini juga memastikan pembekalan barangan keperluan asas kepada rakyat tidak terbantut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang dikuatkuasakan pada 1 hingga 14 April 2020.

"Melihatkan respon positif terhadap keputusan kementerian, pelabuhan-pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak juga telah membuat tindakan sama dengan membenarkan pelepasan barangan di pelabuhan-pelabuhan mereka, sekali gus mengurangkan kesesakan.

"Kementerian Pengangkutan telah pun berkongsi prosedur operasi standard (SOP) kepada pengendali-pengendali pelabuhan yang memohon sebelum ini termasuk (dari) negara-negara lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Langkah-langkah pelepasan barangan itu juga selari dengan peraturan-peraturan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 2020 yang berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP fasa kedua.

Beliau berkata, perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, lapangan terbang serta pengangkutan melalui darat, air atau udara adalah merupakan suatu perkhidmatan perlu selaras dengan pindaan Jadual Peraturan-Peraturan No 2 berkaitan.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan menerusi e-mel aduan@mot.gov.my atau WhatsApp 019-2907723, laman web khusus di pautan http://cccovid19.mot.gov.my/ selain talian hotline kementerian di 1800-88-7723 (8 pagi-8 malam) atau menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara MKN di nombor 03-88882010. - Bernama