Pas dakwa desakan RCI isu ‘mafia korporat’ sekadar ‘wayang opera’ DAP

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mendakwa desakan DAP supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu ‘mafia korporat’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan Bloomberg, hanyalah satu ‘wayang opera’ untuk melepaskan diri daripada apa yang disifatkan sebagai sisi gelap kerajaan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu dilihat sebagai cubaan parti berkenaan mengelak tanggungjawab terhadap isu yang dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan ketika ini.

Menurutnya, laporan Bloomberg berhubung perkara itu bukan kali pertama agensi berkenaan menyiarkan laporan yang memberi gambaran negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri campur tangan dalam urusan SPRM, Ahli Parlimen pembangkang membawa perkara itu ke Parlimen. Pada waktu itu, mengapa DAP tidak bersuara?” soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ketika laporan itu disiarkan sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan tindakan akan diambil manakala pihak polis pula menyatakan siasatan sedang dijalankan terhadap Bloomberg.

Bagaimanapun, katanya, selepas hampir dua tahun berlalu, tiada perkembangan jelas mengenai hasil siasatan tersebut.

“Sekarang laporan mengenai ‘mafia korporat’ juga dibuat oleh agensi yang sama iaitu Bloomberg. Bezanya, sekarang pilihan raya sudah semakin hampir,” ujarnya.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan beberapa perkembangan yang dilihat berlaku secara kebetulan, termasuk kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diisytiharkan sebagai suspek oleh SPRM pada awal Mac 2025.

“Dua minggu kemudian, Ismail Sabri mengisytiharkan bahawa beliau tidak pernah menarik sokongan kepada Anwar Ibrahim. Selepas itu, kes tersebut senyap sehingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Kebetulankah semua ini? Nilailah dengan kepala yang waras,” ujarnya.

Ahmad Fadhli berkata, beliau bersetuju supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu ‘mafia korporat’ berkenaan, namun menegaskan desakan DAP itu tidak semestinya benar-benar dibuat atas dasar keadilan.

Pada masa sama, beliau mendakwa DAP tetap bersama Anwar Ibrahim dalam kerajaan dan semua keputusan pentadbiran merupakan tanggungjawab bersama.

“Jika DAP keluar kerajaan sekalipun pada Julai ini, selepas pilihan raya mereka tetap akan bergabung semula,” tambahnya.

Terdahulu, DAP menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan kewujudan 'mafia korporat' yang dikatakan menyalahgunakan institusi penguatkuasa untuk kepentingan peribadi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, perkara itu antara tiga ketetapan diputuskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti berkenaan.

Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini mendakwa mengenai kewujudan gejala mafia korporat dengan menyediakan 'perkhidmatan' intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat.

Laporan itu turut mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat disasarkan.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan berkenaan sambil menyifatkannya tidak berasas, selain menggesa mana-mana pihak mempunyai maklumat membuat laporan polis.

Ringkasan AI

  • Pas mendakwa DAP melakukan 'wayang opera' dengan mendesak pembentukan RCI untuk menyiasat isu 'mafia korporat' dalam SPRM
  • Ahmad Fadhli Shaari melihat tindakan DAP sebagai cubaan mengelak tanggungjawab terhadap isu pentadbiran kerajaan
  • Laporan Bloomberg tentang isu ini tidak kali pertama, dengan tuduhan sebelumnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Pas bersetuju RCI ditubuhkan untuk menyiasat isu ini, tetapi menegaskan tindakan DAP tidak semestinya atas dasar keadilan
  • DAP tetap bersama Anwar Ibrahim dalam kerajaan, menurut Ahmad Fadhli, dengan semua keputusan pentadbiran menjadi tanggungjawab bersama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!