Siasat komplot, siasat juga mafia korporat

MERAK Jalanan duduk lama di majlis moreh selepas tarawih hujung minggu lalu.
Selain cerita Amerika serang Iran dan Iran balas balik dengan peluru berpandu yang dikatakan lebih 10 kali ganda laju daripada bunyi, perbualan malam itu akhirnya beralih juga kepada politik tempatan.
Antara yang jadi topik ialah siasatan SPRM terhadap aset sebuah keluarga terkenal, yang kini berlarutan menjadi kes polis selepas muncul dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan menggunakan media asing.
Merak Jalanan setuju dakwaan komplot itu perlu disiasat. Negara ini sudah beberapa kali bertukar kerajaan. Ada melalui pilihan raya, ada juga di tengah penggal.
Jadi apabila disebut soal kestabilan politik, pihak berkuasa memang tidak boleh pandang ringan. Polis perlu menyiasat. Siasatan pula bukan hukuman, sekadar usaha mencari fakta sebelum kesimpulan dibuat.
Namun dakwaan wujud komplot itu bukanlah bermakna pendedahan isu mafia korporat oleh media asing sama terus disimpulkan sebagai niat jahat untuk mencemarkan reputasi SPRM dan dipandang ringan.
Geng mafia korporat ini dikatakan terlibat salah guna kuasa untuk tekan atau ambil alih syarikat. Bukankah itu juga isu besar?
Sebab itulah Merak Jalanan tak pelik bila ada yang berseloroh, sejak bila membangkitkan isu rasuah dan salah guna kuasa dianggap cubaan menjatuhkan kerajaan?
Merak Jalanan perasan, rakyat sebenarnya tidak rumit. Mereka tak ambil pusing sangat polis nak siasat di bawah seksyen mana, yang mereka perhati adakah siasatan dalam dua kes itu sama rata dan sama laju.
Jika perlu, tubuhlah RCI supaya segala persoalan terjawab. Jawatankuasa siasatan kes itu memang sudah ada, tetapi rakyat bukan sekadar mahu siasatan, mereka mahu sebab untuk percaya yang hasil siasatan itu adalah bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
