Mengapa pembunuhan Ayatollah satu kesilapan

Kkedudukan Ayatollah kadangkala disamakan dengan konsep Khalifah dalam sejarah Islam dan secara spiritualnya dengan Pope dalam agama Katolik.
Kkedudukan Ayatollah kadangkala disamakan dengan konsep Khalifah dalam sejarah Islam dan secara spiritualnya dengan Pope dalam agama Katolik.
A
A
A

PERTAMA sekali, sekiranya pemimpin seperti Trump dan Netanyahu percaya bahawa penyingkiran Ayatollah Ali Khamenei akan menyebabkan keruntuhan kepimpinan Iran, ia mencerminkan salah faham yang serius terhadap struktur politik Iran.

Ayatollah bukannya seorang diktator. Iran adalah sebuah republik teokrasi dengan institusi berlapis, mekanisme perlembagaan, penyeliaan ulama, dan struktur perintah ketenteraan. Seperti mana-mana sistem politik, akan wujud tempoh ketidaktentuan semasa fasa peralihan.

Namun, sistem itu sendiri tidak akan runtuh semalaman. Budaya politik, kesinambungan institusi, dan rantaian perintahnya akan mengambil alih peranan tersebut. Kita telah pun melihat betapa pantasnya tindak balas dilakukan Iran selepas kematiannya.

Selama berdekad-dekad, naratif Barat sering menggambarkan Ayatollah sebagai satu-satunya figura autoritarian. Apabila sesuatu naratif diulang dengan cukup lama, ia boleh mula membentuk andaian dasar. Oleh itu, keputusan berisiko dibuat berdasarkan karikatur (gambaran yang dipermudahkan), dan bukannya realiti struktur.

Namun, itu bukanlah langkah yang paling silap. Kesilapan perkiraan yang lebih mendalam terletak pada kegagalan untuk memahami dimensi agama dan sejarah dalam identiti Syiah.

Ayatollah, sebagai pemimpin Agung dalam kerangka Syiah di Iran, memegang kedudukan yang dianggap oleh ramai pengikutnya sebagai lebih daripada sekadar politik. Peranan beliau membawa bebanan spiritual. Dalam teologi Syiah, kepimpinan bukan sekadar bersifat pentadbiran; ia terhubung dengan warisan para Imam serta sejarah panjang yang dibentuk oleh syahid dan penentangan moral.

Bagi membantu pembaca bukan Syiah memahaminya, kedudukan beliau kadangkala disamakan dengan konsep Khalifah dalam sejarah Islam dan secara spiritualnya dengan Pope dalam agama Katolik.

Sejarah Syiah amat dipengaruhi oleh peristiwa pembunuhan Ali ibn Abi Talib yang dianggap sebagai Imam yang pertama. Tambahan lagi, dan yang lebih ketara adalah tragedi Karbala, di mana Husayn ibn Ali bangkit menentang penguasa yang dianggap zalim sehingga beliau terkorban.

Dalam kerohanian Syiah, penderitaan tidak dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia tetapi boleh membawa makna penebusan; menegakkan keadilan, walaupun dengan pengorbanan peribadi, dianggap sebagai satu kewajipan yang suci; dan mati syahid dipandang sebagai bentuk kesetiaan yang tertinggi terhadap ALLAH dan kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Jika pemimpin sebegini dibunuh, beliau tidak sekadar 'disingkirkan' daripada jawatan. Sebaliknya, kedudukannya diangkat ke tahap yang lebih tinggi dalam naratif kerohanian yang telah mencorakkan kesedaran penganut Syiah selama berabad-abad.

Terdapat kira-kira 200 hingga 300 juta penganut Syiah di seluruh dunia. Pembunuhan yang dianggap sebagai "syahid" tidak akan melemahkan tradisi ini; ia sebaliknya memperkukuh solidariti dan kecekalan emosi mereka. Malah, ia mungkin turut bergema melampaui sempadan mazhab, terutamanya dalam kalangan penganut Sunni yang melihat penentangan terhadap kuasa besar dunia Amerika dan Israel melalui lensa politik perjuangan dan rintangan.

Malah kini, ramai umat Islam daripada tidak kira mazhab mula berkongsi ayat al-Quran. “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan ALLAH, (bahawa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.” (Al-Baqarah: 154)

Dalam naratif tersebut, Ayatollah tidak lenyap begitu sahaja. Sebaliknya, pengaruh moralnya menjadi semakin kuat dan bergema.

*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, sebuah firma pembangunan insan dan organisasi. Beliau menulis mengenai kepimpinan, pengurusan dan keberkesanan tempat kerja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!