Presiden Iran kecam pembunuhan Ali Khamenei, ikrar tindakan balas

TEHERAN - Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengutuk keras pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei yang disifatkannya sebagai satu jenayah besar, sambil berikrar bahawa tindakan balas setimpal akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Dalam satu kenyataan rasmi daripada pejabatnya, Pezeshkian berkata, darah pemimpin tertinggi itu menjadi pemangkin untuk menentang apa yang digambarkan sebagai kezaliman Amerika–Zionis di rantau berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa jenayah tersebut tidak akan dibiarkan tanpa balasan dan bakal membuka lembaran baharu dalam perkembangan dunia Islam, lapor Al Jazeera.
Kerajaan Iran juga menyatakan komitmen untuk menggunakan segala kekuatan yang ada, dengan sokongan negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa yang bersimpati, bagi memastikan dalang serta komander yang mengarahkan serangan itu dipertanggungjawabkan.
Pezeshkian turut menekankan bahawa pengorbanan Khamenei menjadi simbol perjuangan menentang penindasan yang dilakukan musuh Republik Islam itu.
Amaran keras tersebut dikeluarkan ketika ketegangan terus memuncak susulan serangan berterusan oleh tentera Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah Iran.
Sebagai tanda penghormatan, kerajaan mengumumkan tujuh hari cuti umum dan tempoh berkabung selama 40 hari di seluruh negara bagi membolehkan rakyat memperingati kepimpinan Allahyarham.
Situasi berkenaan terus diperhatikan oleh komuniti antarabangsa memandangkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan menegaskan tekad Iran untuk mempertahankan kedaulatan dan prinsip negara. - Awani
Ringkasan AI
- Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengutuk pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei dan berjanji tindakan balas
- Darah Ayatollah Khamenei dijadikan pemangkin untuk menentang kezaliman Amerika-Zionis
- Jenayah pembunuhan tidak akan dibiarkan tanpa balasan dan dipercayai akan membuka lembaran baru dunia Islam
- Iran komited gunakan segala kekuatan dengan sokongan negara Islam dan masyarakat antarabangsa untuk bertindak terhadap dalang serangan
- Kerajaan Iran umumkan tujuh hari cuti umum dan berkabung 40 hari bagi memperingati Ayatollah Khamenei
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
