Ekonomi makmur mengapa rakyat masih terhimpit?

Walaupun kadar inflasi keseluruhan masih terkawal, namun tekanan kewangan isi rumah tidak semestinya berkurangan. - Gambar hiasan
Walaupun kadar inflasi keseluruhan masih terkawal, namun tekanan kewangan isi rumah tidak semestinya berkurangan. - Gambar hiasan
A
A
A

EKONOMI Malaysia terus memperlihatkan daya tahan yang memberangsangkan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 mencerminkan kekuatan permintaan domestik, pelaburan dan aktiviti eksport negara.

Namun, di sebalik pencapaian tersebut, timbul satu persoalan yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Mengapakah ekonomi berkembang dengan baik, sedangkan sebahagian rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup?

Paradoks pertumbuhan timbul bila prestasi ekonomi negara tidak diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Peningkatan ekonomi pada peringkat makro tidak konsisten dengan keadaan ekonomi di peringkat mikro. Isi rumah masih terasa dibebani oleh kenaikan kos sara hidup yang dirasakan meningkat saban hari. Timbul persoalan kepada kita semua kenapa perkara ini terjadi?

Hakikatnya, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat merupakan dua ukuran yang saling berkaitan, tetapi tidak semestinya bergerak pada kadar yang sama. KDNK mengukur nilai pengeluaran barangan dan perkhidmatan, manakala kesejahteraan rakyat turut bergantung kepada pendapatan boleh guna, kuasa beli, kos kehidupan dan pengagihan kekayaan.

Jurang antara pertumbuhan dan pendapatan

Antara cabaran utama ekonomi Malaysia ialah memastikan pertumbuhan produktiviti diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja. Walaupun kadar inflasi keseluruhan masih terkawal, tekanan kewangan isi rumah tidak semestinya berkurangan.

Inflasi yang rendah bermaksud harga meningkat dengan lebih perlahan, bukannya harga barangan kembali kepada paras sebelumnya. Justeru, isi rumah masih menanggung kesan kenaikan harga terkumpul, khususnya bagi makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, median gaji bulanan pekerja sektor formal meningkat kepada RM3,000 pada Jun 2026. Walaupun perkembangan ini positif, perbezaan pendapatan antara kumpulan pekerja dan wilayah masih ketara. Keadaan ini memperlihatkan bahawa persoalan sebenar bukan sekadar sama ada pendapatan meningkat, tetapi sejauh mana peningkatan tersebut mampu memperkukuh kuasa beli rakyat.

Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 merupakan antara langkah meningkatkan pendapatan asas pekerja. Pengumuman kenaikan kepada RM2,000 bagi sektor-sektor tertentu mulai Jun 2027 pula memperlihatkan usaha memperkukuh perlindungan pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, dasar gaji minimum perlu disokong oleh peningkatan produktiviti, latihan kemahiran dan kemampuan perusahaan menanggung kos operasi.

Pembaharuan fiskal, kesejahteraan rakyat

Dalam masa yang sama, kerajaan berhadapan keperluan mengimbangi disiplin fiskal dengan perlindungan kebajikan rakyat. Usaha merasionalisasikan subsidi dan memperluas asas percukaian antara langkah penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara.

Subsidi bersasar berpotensi mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan lebih tertumpu kepada golongan yang memerlukan. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan sebenar isi rumah, termasuk kumpulan berpendapatan sederhana yang turut menghadapi tekanan kewangan.

Pembaharuan fiskal yang berkesan bukan sekadar diukur melalui pengurangan defisit, tetapi juga melalui kecekapan perbelanjaan awam dan keberkesanan bantuan dalam melindungi kuasa beli rakyat.

Dalam konteks ini, tadbir urus ekonomi memainkan peranan penting. Ketelusan pengagihan bantuan, ketepatan pangkalan data penerima dan keberkesanan pemantauan merupakan asas utama untuk memastikan setiap ringgit perbelanjaan kerajaan memberikan manfaat optimum.

Kebergantungan teknologi, cabaran struktur ekonomi

Perkembangan industri kecerdasan buatan (AI), pusat data dan sektor elektrik serta elektronik membuka peluang baharu kepada ekonomi Malaysia. Pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi berpotensi meningkatkan eksport, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.

Namun, kebergantungan yang terlalu besar terhadap sektor tertentu sahaja boleh meningkatkan pendedahan ekonomi kepada perubahan permintaan antarabangsa. Sekiranya industri teknologi global mengalami kelembapan, aktiviti eksport dan pelaburan negara turut berpotensi menerima kesannya.

Oleh itu, kepelbagaian struktur ekonomi perlu diperkukuh melalui pembangunan industri domestik, perusahaan kecil dan sederhana serta sektor perkhidmatan bernilai tinggi.

Malaysia juga perlu mempercepat peralihan daripada aktiviti pemasangan dan pengeluaran bernilai tambah rendah kepada reka bentuk teknologi, penyelidikan, inovasi dan kejuruteraan termaju.

Peralihan ini penting bagi menangani cabaran perangkap pendapatan pertengahan yang sering dikaitkan dengan keterbatasan produktiviti, inovasi dan penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Membina pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif

Bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara meluas, pembangunan modal insan perlu menjadi keutamaan. Hubungan antara institusi pendidikan, industri dan pasaran pekerjaan mesti diperkukuh supaya kemahiran tenaga kerja sepadan dengan keperluan ekonomi masa hadapan.

Pada masa yang sama, jurang pembangunan antara negeri dan wilayah perlu ditangani melalui pelaburan infrastruktur, pembangunan industri setempat serta penyediaan peluang pekerjaan berkualiti.

Pembangunan ekonomi tidak seharusnya tertumpu di pusat pertumbuhan utama semata-mata. Sebaliknya, setiap wilayah perlu mempunyai peluang menyumbang kepada kemakmuran negara berdasarkan kekuatan sumber, geografi dan keupayaan ekonominya.

Lebih penting, keberkesanan dasar ekonomi perlu dinilai bukan sahaja melalui pertumbuhan KDNK, peningkatan eksport atau kemasukan pelaburan, tetapi juga melalui pertumbuhan gaji benar, peningkatan produktiviti, pengurangan ketidaksamaan dan kemampuan rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Akhirnya, kekuatan ekonomi sesebuah negara bukan sekadar terletak pada keupayaannya mencatatkan angka pertumbuhan yang tinggi, tetapi pada kemampuan menterjemahkan pertumbuhan tersebut kepada kemakmuran yang dikongsi bersama.

Ekonomi yang benar-benar berdaya tahan bukan hanya mampu menghadapi kejutan global, tetapi juga berupaya memastikan rakyat menikmati pendapatan yang tinggi dan lestari, peluang ekonomi yang saksama dan masa depan yang lebih terjamin.

*** Prof Dr Mohd Abdullah Jusoh ialah Profesor di Jabatan Pengurusan Lojistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!