LTAT perlu kaji semula penjualan BPlant

SEBAGAI aktivis veteran tentera, saya dan komuniti veteran tentera memandang berat isu penjualan Boustead Plantation (BPlant) iaitu anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) kepada pihak swasta.
Sekiranya keputusan tersebut mendapat restu daripada kerajaan pusat dan Kementerian Kewangan, saya amat berharap ia dapat ditangguhkan untuk dikaji semula.
Langkah tersebut perlu diambil kerana penjualan kepada pihak swasta mempunyai implikasi besar dan pastinya memberi kesan mendalam kepada pencarum, komuniti tentera dan bekas tentera.
Setakat ini penjelasan yang diberi oleh LTAT melalui kenyataan media, tidak meyakinkan dan mencetuskan banyak lagi persoalan.
Ini termasuk soal pematuhan kriteria, proses pemilihan yang telus, merit, pakej harga, latar belakang syarikat dan siapa di belakangnya, akauntabiliti dan kepentingan awam.
Dengan kata lain, tidak cukup sekadar memberi kenyataan umum sebaliknya LTAT perlu tampil dengan penjelasan menyeluruh untuk dinilai oleh rakyat.
Ambil iktibar bagaimana penjualan Bplant kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pada tahun 2023 telah dibatalkan ketika timbul kebimbangan berhubung isu yang sama iaitu pemeliharaan aset perladangan strategik dan agenda Bumiputera. Ini selepas berlaku gelombang bantahan oleh pelbagai pihak khususnya para pencarum.
Saya bersetuju dengan pandangan banyak bahawa LTAT tidak harus terpalit dengan satu lagi isu panas selepas melupuskan pajakan sebidang tanah di Ampang Hilir kepada Kedutaan Amerika Syarikat pada harga RM420 juta.
Dalam hubungan ini pihak LTAT perlu meletakkan kepentingan LTAT dan BPlant serta para pencarum, komuniti tentera dan bekas tentera mengatasi pertimbangan lain.
Ini termasuk memastikan LTAT tidak melepaskan peluang keuntungan jangka panjang pada masa depan iaitu sekiranya mengekalkan pemilikan Bplant.
Apatah lagi ia melibatkan aset strategik dan jangan lupa sejarah pemilikan aset perladangan besar Bplant bukan sesuatu yang mudah diperoleh atau datang bergolek.
Saya juga ingin menarik perhatian kepada Laporan LEGASI Research bahawa tanah bukan sekadar aset komersial. Ia merupakan sumber kekayaan jangka panjang, instrumen pembangunan ekonomi dan asas pembentukan kekayaan generasi akan datang.
Malah laporan tersebut mengesyorkan agar diwujudkan Dasar Pengekalan Aset Tanah Strategik Negara. Ini yang harus dijadikan ketetapan oleh kerajaan Madani.
Maknanya pelupusan mutlak tidak seharusnya menjadi pilihan pertama.
Tanah strategik negara tidak wajar dilihat semata-mata sebagai aset untuk menghasilkan keuntungan jangka pendek, yang akibatnya melepaskan keuntungan jauh lebih besar pada masa depan.
Saya juga bersetuju bahawa sentimen rakyat pada waktu ini tidak memihak kepada penjualan aset strategik kepada syarikat swasta.
LTAT tidak boleh mengambil mudah hal sebegini kerana akibatnya akan ditanggung oleh kerajaan semasa yang berdepan risiko penolakan rakyat pada PRU16.
Saya berharap PMX akan campur tangan bagi menyelamatkan satu lagi aset strategik daripada terlepas kepada pihak swasta.
Lebih-lebih lagi semua petunjuk mendapati Bplant tidak wajar dijual pada masa ini antaranya kerana ia syarikat berdaya maju dan menguntungkan, potensi besar masa depan dan menjadi khazanah perladangan negara.
Percayalah jika penjualan ini diteruskan, ahli lembaga LTAT dan pengurusannya malah kerajaan akan dipertanggungjawabkan selepas ini. Ia akan tercatat sebagai keputusan yang salah, buruk dan memalukan dalam sejarah LTAT dan kerajaan.
*** Datuk Dr. Mustapha Ahmad Merican ialah aktivis bekas tentera dan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
