Tsunami rakyat sudah bermula, BN-PN jangan leka menanti PRU16

Kemenangan BN-PN dalam tiga pilihan raya negeri jelas membuktikan bahawa rakyat mendukung perjuangan kedua-dua gabungan tersebut.
Kemenangan BN-PN dalam tiga pilihan raya negeri jelas membuktikan bahawa rakyat mendukung perjuangan kedua-dua gabungan tersebut.
A
A
A

KEMENANGAN BN-PN dalam tiga pilihan raya negeri jelas membuktikan bahawa rakyat mendukung perjuangan kedua-dua gabungan tersebut. UMNO menjaja perjuangan kepentingan Melayu sambil menjinjing MCA dan MIC, manakala Pas meletakkan Islam sebagai asas perjuangan sambil mengendong Wawasan, MIPP dan Gerakan.

Kekalahan PH di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan manifestasi penolakan rakyat terhadap beliau dan PH.

Kemenangan BN-PN di ketiga-tiga negeri tersebut ialah tsunami rakyat Malaysia. Kejayaan itu bukan sekadar tsunami Melayu. Kemenangan BN-PN di Melaka melengkapkan pengertian tsunami rakyat Malaysia.

Terimalah hakikat bahawa tsunami ini sedang bergerak untuk menumbangkan kesemua benteng PH sebelum dan semasa PRU16 nanti.

Benarkah tsunami rakyat?

Ramai yang cenderung mentafsirkan penolakan rakyat terhadap calon-calon PH dalam tiga PRN ini bukan lagi sebagai tsunami Melayu, sebaliknya tsunami rakyat Malaysia. Tafsiran ini dibuat berdasarkan kekalahan tokoh PH serta kemenangan calon BN di kerusi bukan majoriti Melayu, malah di kerusi majoriti pengundi Cina dan kerusi campuran.

Tidakkah kekalahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, di kubunya sendiri, iaitu DUN Chennah, menjadi salah satu bukti? Beliau telah menjadi ADUN di situ selama tiga penggal, tetapi tewas kepada pendatang baharu daripada MCA, Siow Kong Choon.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan tumbang di kubunya kerana dilanda tsunami rakyat. Malah, kerusi DAP di Repah juga berjaya dirampas oleh MCA.

Kemenangan calon BN daripada MCA di DUN Machap Jaya, iaitu Ngwe Hee Sem, yang mempunyai komposisi pengundi Melayu sebanyak 46.9 peratus, Cina 36.01 peratus, India 13.73 peratus, Orang Asli 2.09 peratus dan lain-lain 1.1 peratus, menjadi bukti bahawa BN boleh menang di kawasan campuran.

Artikel Berkaitan:

Ini membuktikan bahawa kemenangan calon-calon BN bukan hanya di kawasan majoriti Melayu semata-mata.

Anthony Loke tewas di kerusi campuran dengan komposisi pengundi Melayu sebanyak 47.8 peratus, Cina 42.6 peratus, India 2.0 peratus, Orang Asli 6.3 peratus dan lain-lain 1.3 peratus.

Pada PRN16 Johor, DAP gagal mempertahankan empat kerusi di kubunya, iaitu Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling. Kesemuanya merupakan kerusi campuran yang dimenangi oleh BN.

Chan San San menang di Johor Jaya yang mempunyai komposisi pengundi Melayu sebanyak 39.2 peratus, Cina 45.2 peratus, India 7.9 peratus dan lain-lain 7.7 peratus.

DUN Tangkak dimenangi oleh Haw Chin Teck dengan komposisi pengundi Melayu sebanyak 40.6 peratus, Cina 46.5 peratus, India 10.0 peratus dan lain-lain 2.9 peratus.

See Ann Giap menewaskan calon DAP di Jementah yang mempunyai komposisi pengundi Melayu sebanyak 41.8 peratus, Cina 49.2 peratus, India 7.7 peratus dan lain-lain 1.2 peratus.

Calon MIC pula menang di DUN Perling biarpun komposisi pengundinya terdiri daripada Melayu sebanyak 38.0 peratus, Cina 45.2 peratus, India 13 peratus dan lain-lain 3 peratus.

Kemenangan BN-PN di di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka boleh dianggap sebagai tsunami rakyat Malaysia
Kemenangan BN-PN di di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka boleh dianggap sebagai tsunami rakyat Malaysia

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, tumbang di DUN Bukit Katil kepada calon Pas, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, dengan majoriti 6,607 undi. Sedangkan pada PRN15 Melaka, beliau menang dengan majoriti 1,057 undi.

Ayam sabung PMX, iaitu Datuk Azman Abidin yang juga Setiausaha Politik PMX, turut tumbang di DUN Paya Rumput kepada calon Pas. Beliau merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Calon-calon UMNO menang dengan majoriti sangat besar pada PRN16 Melaka. Pada PRN15, calon UMNO tewas di DUN Sungai Udang dengan majoriti 530 undi. Sebaliknya, kali ini Datuk Rais Yasin menang dengan majoriti terbesar, iaitu 16,214 undi.

Calon BN menang dengan majoriti lebih 10,000 undi di Ayer Molek (13,108), Serkam (12,689), Telok Mas (11,114) dan Duyong (10,004). Majoriti terkecil dicatatkan di Machap Jaya, iaitu 2,236 undi.

Bersandarkan kemenangan luar biasa calon-calon BN dan PN pada PRN16 Melaka yang masih hangat diperkatakan, jelas sekali bahawa tsunami rakyat sedang melanda negara.

Semua bangsa serta segenap lapisan pengundi sedang menunggu ketibaan PRU16. Mereka tidak sabar lagi untuk menghumban PH ke tong sejarah, sebagaimana yang dilakukan oleh pengundi di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

BN-PN perlu kekalkan momentum

Ramai yang percaya PMX tidak akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat. Kekalahan PH di Sabah, diikuti Johor, Negeri Sembilan serta Melaka, menjadi fobia kepada beliau.

Atas perhitungan itu, ramai yang percaya bahawa Anwar akan meneruskan pemerintahannya sehingga Parlimen ke-15 terbubar sendiri pada 20 Disember 2027. Beliau boleh menjadi Perdana Menteri bagi kerajaan sementara atau 'caretaker government' sehingga 20 Februari 2028.

Sekiranya jangkaan ramai mengenai keinginan PMX untuk terus duduk di kerusi Perdana Menteri itu benar, BN-PN mesti mencari ikhtiar supaya suhu penolakan rakyat terhadap PMX serta PH dapat dikekalkan. Tegasnya, tsunami rakyat mesti sentiasa ditatang persis menatang minyak yang penuh.

Ramai berpendapat bahawa cara untuk mengekalkan didihan amarah rakyat terhadap PMX serta PH adalah dengan meneruskan siri pilihan raya negeri. Dengan itu, jentera pilihan raya BN-PN sentiasa bergerak dan bersiap siaga.

Tentunya, setiap kali BN-PN menempa kemenangan, semangat juang jentera, para pendukung dan penyokong akan meningkat, selain dapat memperluas kelompok simpatisan. Sebaliknya, keadaan itu akan melemahkan semangat jentera, pendukung dan penyokong PH serta mengurangkan kelompok simpatisannya.

BN-PN perlu merancang sekurang-kurangnya tiga PRN sebelum PMX membubarkan Parlimen atau Parlimen terbubar sendiri pada 20 Disember 2027. Bagaimana jika dimulakan dengan PRN Pahang, diikuti PRN Kelantan dan Kedah?

Selain untuk mempersiap siagakan jentera, langkah itu juga bertujuan mengguna pakai formula pembahagian kerusi di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Sekiranya Pas boleh menerima cadangan UMNO dalam pembahagian kerusi di tiga negeri tersebut, apakah UMNO juga bersedia berbuat demikian?

Mengadakan PRN Pahang sepatutnya begitu mudah. Pada masa ini, BN dan PN masing-masing mempunyai 17 kerusi DUN, manakala PH mempunyai lapan kerusi, iaitu enam diwakili DAP dan dua oleh PKR.

Ini bermakna, selain mengekalkan kerusi masing-masing, mereka hanya perlu membahagikan kerusi pembangkang kepada dua. Jadi, UMNO boleh mendapat empat kerusi dan begitulah juga sebaliknya. BN dan PN boleh bertanding di 21 kerusi DUN Pahang.

Sekiranya DUN Pahang dibubarkan pada April selepas Hari Raya Aidilfitri dan PRN diadakan pada Mei, berdasarkan kajian, PH dijangka kehilangan sekurang-kurangnya empat kerusi, iaitu separuh daripada jumlah kerusi miliknya.

PKR kini menguasai DUN Teruntum dan Semambu. DUN Semambu dijangka tumbang berdasarkan keputusan pilihan raya lalu. Calon PKR mendapat 18,902 undi, calon Pas 17,098 undi, calon UMNO 10,422 undi dan calon Berjasa 820 undi.

Kerusi DAP yang diyakini akan tumbang ialah Ketari, Mentakab dan Bilut. Di Ketari, DAP menang dengan majoriti 120 undi. Calon DAP mendapat 9,722 undi, UMNO 9,602 undi dan Gerakan 4,290 undi. Komposisi pengundi pula ialah Melayu 51.6 peratus, Cina 39.4 peratus, India 4.7 peratus, Orang Asli 2.8 peratus dan lain-lain 1.4 peratus.

Di Mentakab, DAP mendapat 12,905 undi, PN 9,248 undi, MCA 5,996 undi dan GTA 287 undi. Komposisi pengundi ialah Melayu 46.8 peratus, Cina 39.3 peratus, India 11.4 peratus dan lain-lain 2.5 peratus.

Di Bilut, DAP mendapat 8,895 undi, MCA 5,784 undi, Gerakan 5,996 undi dan GTA 433 undi. Komposisi pengundi ialah Melayu 37.3 peratus, Cina 51.5 peratus, India 9.5 peratus, Orang Asli 0.9 peratus dan lain-lain 0.8 peratus.

Sekiranya kekuatan BN-PN di Pahang dapat merampas empat kerusi PH, tentulah keadaan ini akan melemahkan semangat jentera PH di Pahang dan seluruh negara.

Bagi mengadakan PRN di Kelantan dan Kedah, tentunya tidak sukar. Dua negeri ini dikuasai oleh Pas. Kekuatan Pas di kedua-dua negeri tersebut tidak mampu digugat oleh PH, apatah lagi UMNO kini sudah bersama Pas.

Katakan Kerajaan Pas Kelantan membubarkan DUN pada Jun. Kemungkinan PRN akan diadakan pada Julai. Langsung tiada masalah bagi BN-PN di Kelantan untuk menyapu bersih kesemua 45 kerusi DUN.

Daripada 45 kerusi DUN, Pas kini menguasai 37 kerusi, Bersatu empat, UMNO dua, Wawasan satu dan Amanah satu. Kota Lama jatuh ke tangan Amanah pada PRN15 melalui Dr Hafidzah dengan hanya majoriti 120 undi. Pastinya kerusi itu mudah ditawan kembali.

Begitu juga kerusi yang dikuasai oleh Bersatu, iaitu Gual Ipoh, Bukit Bunga, Ayer Lanas dan Paloh, yang tidak akan menjadi masalah untuk dirampas kembali oleh BN-PN.

Apabila BN-PN menyapu bersih kerusi-kerusi PH, termasuk kerusi Bersatu, tentulah kemenangan itu menjadi satu kejayaan moral yang besar. Pastinya ia menjadi tamparan pedih buat PH. Selesai BN-PN Kelantan menempa sejarah, Kedah pula perlu menyusul. Dengan itu, semangat kemenangan di Kelantan perlu terus disemarakkan.

Menteri Besar Kedah perlu membubarkan DUN Kedah pada September 2027. Semoga PRN Kedah dapat diadakan pada Oktober. Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, boleh memasuki gelanggang persis seorang pendekar untuk menumbangkan segala saingannya.

PRN itu nanti menjadi ujian terhadap kemampuan Pengarah Pilihan Raya Pas dalam mencatur strategi merampas kerusi yang dimiliki Bersatu, PKR dan DAP.

Setakat ini, komposisi DUN Kedah terdiri daripada Pas 21 kerusi, Bersatu sembilan, Wawasan dua, PKR dua, Gerakan satu dan DAP satu. Bagaimanapun, Bersatu kini hanya tinggal tujuh kerusi apabila ADUN Derga digantung dan ADUN Bayu memihak kepada Wawasan.

Ramai yang meyakini bahawa sekiranya PRN Kedah diadakan, mungkin hanya dua kerusi pembangkang yang terselamat, iaitu Kota Darul Aman milik DAP dan Bakar Arang yang dikuasai PKR.

DUN Sidam, yang dimenangi PKR dengan majoriti 954 undi, boleh dirampas oleh Sanusi. Tujuh kerusi yang berada di tangan Bersatu pasti dapat ditawan kembali. Ini berdasarkan pendapat umum bahawa kemenangan Bersatu sebelum ini bersandarkan kekuatan Pas. Lagipun, semua calon Bersatu tewas begitu teruk dan hilang deposit dalam PRN Negeri Sembilan dan Melaka.

Sebagai kesimpulan, kemenangan bergaya BN-PN dalam siri PRN adalah hasil penolakan rakyat terhadap PH dan PMX. Kebangkitan rakyat menyokong BN-PN sudah tidak mampu dibendung oleh PMX. Fenomena ini telah menjadi Tsunami Rakyat Malaysia, bukan lagi sekadar Tsunami Melayu.

Oleh itu, BN-PN perlu mengekalkan momentum yang ada sehingga PRU16. Cara yang paling praktikal ialah meneruskan siri pilihan raya negeri. Kemenangan demi kemenangan akan terus menyemarakkan api kebangkitan rakyat.

Rakyat begitu bersedia untuk menamatkan pemerintahan Kerajaan Madani yang dianggap gagal dan menyusahkan.

*** Dr Kamarazaman Yacob ialah Pengerusi Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman, penganalisis dan penulis buku politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!