Kerajaan tidak berdiam diri, tohmahan tiada tindakan diambil tidak berasas - Pengarah JAIPk

IPOH - Kerajaan tidak pernah berdiam diri berhubung insiden penghinaan terhadap kesucian al-Quran baru-baru ini, sebaliknya tindakan telah diambil terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keadilan dan keharmonian agama terpelihara.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, tohmahan segelintir pihak yang mendakwa kerajaan tidak melakukan apa-apa adalah tidak berasas memandangkan proses undang-undang telah pun dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk melakukan tangkapan. Jadi, dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan adalah tidak benar kerana pihak berkuasa sudah menjalankan kerja mereka, jadi itu adalah bahagian tindakan kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Beliau memberikan contoh agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut digerakkan bagi melakukan siasatan terhadap kandungan media sosial yang berkaitan dengan insiden berkenaan.
"Sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Janganlah kita mengatakan kerajaan tidak peduli sedangkan siasatan sedang dijalankan dan MCMC juga sedang bertindak memantau serta menganalisis laman web berkaitan, adalah salah untuk mengatakan kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan," katanya.
Harith Fadzilah turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang gesaan untuk mengambil tindakan sendiri, yang melangkaui batas undang-undang dan bertentangan dengan prinsip keharmonian.
Beliau berkata, Islam ialah agama yang indah dan tidak pernah mengajar penganutnya menghina agama atau tuhan penganut lain, apatah lagi melakukan provokasi semberono yang boleh mencetuskan ketegangan.
"Jangan ambil tindakan sendiri tanpa arah tujuan yang jelas serta berlawanan dengan tuntutan agama dan undang-undang. Kita mempunyai peraturan, jadi ikutlah saluran yang betul bagi mengelakkan timbulnya masalah lain yang lebih besar kepada diri sendiri," katanya.
Beliau berkata, umat Islam seharusnya mempunyai tatasusila dalam menyatakan bantahan dan bukannya bertindak mengikut emosi dengan maki hamun.
Sementara itu, Exco Tugas-tugas Khas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perak, Mohd Fathie Md Ramli berkata, sebarang isu melibatkan penghinaan terhadap agama perlu ditangani secara serius dan berhemah oleh pihak berkuasa, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada tanpa menimbulkan ketegangan masyarakat.
Mohd Fathie berkata, pada masa sama, masyarakat hendaklah menyemak kesahihan berita sebelum menyebarkannya serta menyerahkan urusan tindakan kepada pihak berautoriti.
"Dakwaan (kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap isu menghina agama Islam) adalah tidak berasas, serta boleh menimbulkan ketegangan rakyat serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
"Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk bertenang dan tidak bertindak melulu. Pihak berkuasa wajar memberikan penjelasan rasmi serta perkembangan siasatan secara telus agar masyarakat mendapat maklumat yang sahih," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fathie berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga kesucian al-Quran serta memelihara keharmonian negara.
"Tuduhan tanpa bukti hanya akan memburukkan keadaan. Marilah kita bertindak dengan hikmah, berpandukan undang-undang dan prinsip keadilan, demi memastikan keamanan serta perpaduan rakyat terus terpelihara," katanya yang juga Yang Dipertua ABIM Muallim.
Pada 25 Februari lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam dalam media sosial dengan memijak al-Quran, dan setakat semalam sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan telah mengambil tindakan terhadap insiden penghinaan terhadap kesucian al-Quran
- Pihak berkuasa telah melakukan tangkapan dan menjalankan siasatan terhadap kandungan media sosial
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memantau dan menganalisis laman web berkaitan
- Rakyat diingatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri yang melangkaui batas undang-undang
- Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang disyaki menghina Islam dan telah ditahan untuk membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
