Ruang udara Timur Tengah terjejas, TH tunggu nasihat pihak berkuasa

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) sedang memantau dan menilai secara rapat keadaan perkembangan konflik semasa di Iran yang menjejaskan ruang udara di Timur Tengah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, susulan konflik berkenaan, semua penerbangan pergi dan balik dari rantau itu digantung buat masa ini.
"TH sedang memantau dan menilai keadaan perkembangan konflik ini dengan rapat dan akan membuat pemakluman seterusnya pada masa yang sesuai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Berkenaan tanggungjawab TH kepada bakal jemaah haji negara, beliau berkata, tindakan TH seterusnya akan berdasarkan nasihat yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Arab Saudi dan Wisma Putra.
"TH ingin menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji negara adalah keutamaan,” katanya.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.
Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terbunuh susulan serangan pada pagi Sabtu. - Bernama
Ringkasan AI
- Lembaga Tabung Haji memantau konflik di Iran yang menjejaskan ruang udara Timur Tengah
- Penerbangan pergi dan balik dari rantau itu digantung sementara
- Tindakan selanjutnya TH bergantung pada nasihat syarikat penerbangan, pihak berkuasa Arab Saudi, dan Wisma Putra
- Keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji adalah keutamaan TH
- Ketegangan di Timur Tengah meningkat dengan serangan AS dan Israel terhadap Iran, termasuk kematian Ayatollah Ali Khamenei
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
