Hina agama: Tindakan perlu berlandaskan undang-undang, bukan tekanan media sosial

KUALA LUMPUR - Setiap tindakan terhadap sesuatu kes, khususnya yang menyentuh sensitiviti agama, mesti dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan prosedur sedia ada, bukannya dipengaruhi tekanan media sosial atau reaksi emosi, kata Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu itu berkata, dalam suasana masyarakat digital hari ini, persepsi awam sering dibentuk oleh reaksi pantas di media sosial, termasuk desakan agar tindakan segera diambil tanpa menunggu proses siasatan selesai.
Beliau berkata, persepsi itu timbul antaranya kerana ada pihak beranggapan kerajaan perlu bertindak serta-merta tanpa menunggu proses siasatan selesai sedangkan, setiap pengurusan kes jenayah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan proses perundangan yang perlu dipatuhi.
"Tidak dapat dinafikan, isu yang menyentuh sensitiviti agama, khususnya Islam dan orang Melayu, mudah dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk meraih keuntungan politik atau menimbulkan polarisasi masyarakat.
"Namun, dalam era media sosial yang pantas menyebarkan maklumat, kelewatan berkongsi perkembangan siasatan juga boleh membuka ruang kepada spekulasi,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat supaya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung isu provokasi agama, selain menegaskan tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran adalah tidak berasas.
Anwar berkata, dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tindakan diambil berdasarkan proses perundangan, bukan tekanan emosi atau persepsi menerusi media sosial.
Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, siasatan yang dijalankan pihak berkuasa memerlukan ruang dan tempoh munasabah bagi memastikan semua aspek diteliti sebelum sebarang keputusan pendakwaan diambil.
Bagaimanapun, beliau berpandangan dalam kes tertentu terdapat kewajaran untuk hasil siasatan dikongsikan kepada umum dengan lebih pantas dan telus, selaras dengan batas undang-undang bagi mengelakkan salah faham serta perbandingan dengan kes-kes terdahulu yang melibatkan penghinaan agama lain yang didakwa menerima tindakan lebih cepat.
"Komunikasi yang jelas dan konsisten daripada pihak berkuasa penting bagi mengelakkan salah faham serta spekulasi dalam kalangan masyarakat sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
"Secara keseluruhannya, kerajaan tidak berdiam diri dalam menangani isu ini, sebaliknya tindakan sedang diambil mengikut saluran undang-undang. Pendekatan berhati-hati amat penting, umpama menghela rambut dalam tepung - rambut jangan putus, tepung jangan terserak,” katanya.
Sementara itu, pegawai perubatan dan pempengaruh terkenal, Dr S Malar Santhi berkata, beliau mewakili masyarakat India memohon agar siasatan dijalankan secara serius, telus dan disegerakan bagi mengelakkan kes berkenaan berlarutan.
Beliau menegaskan perbuatan yang didakwa itu tidak mencerminkan amalan, pegangan mahupun budaya masyarakat India serta penganut agama Hindu di negara ini.
"Kami tidak bersetuju kes ini dipanjangkan bertahun-tahun atau disiasat terlalu lama sehingga akhirnya dilupakan. Tindakan tegas dan adil perlu diambil mengikut lunas undang-undang supaya tiada salah faham antara kaum,” katanya menerusi perkongsian di media sosial miliknya.
Dr Malar turut menyeru semua pihak agar tidak mengaitkan tindakan individu tertentu dengan keseluruhan komuniti, sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional.
Pada 25 Februari lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dan setakat semalam, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan. - Bernama
Ringkasan AI
- Tindakan terhadap kes sensitiviti agama harus berlandaskan undang-undang bukan tekanan media sosial
- Media sosial memainkan peranan dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu sensitiviti agama
- Persepsi tuntutan segera tanpa siasatan lengkap dapat menimbulkan salah faham dan polarisasi
- Komunikasi jelas dari pihak berkuasa penting untuk mengelak salah faham semasa proses siasatan
- Tindakan diambil berdasarkan proses perundangan untuk memastikan keadilan dan ketelusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
