Enam bapa redah tanah runtuh, jalan kaki tujuh jam demi bekalan makanan

Jeffrey (kanan), Tony (kiri) dan Yahudi (dua dari kiri) bersama tiga lagi rakan sekampung meredah perjalanan tanah runtuh dengan berjalan kaki selama tujuh jam keluar dari Kampung Sumambu, Tenom, untuk mendapatkan bekalan makanan.
Jeffrey (kanan), Tony (kiri) dan Yahudi (dua dari kiri) bersama tiga lagi rakan sekampung meredah perjalanan tanah runtuh dengan berjalan kaki selama tujuh jam keluar dari Kampung Sumambu, Tenom, untuk mendapatkan bekalan makanan.
A
A
A

TENOM - Hujan berterusan yang melanda daerah ini minggu lalu menyebabkan jalan perhubungan di beberapa kampung terputus susulan kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan keluar masuk perkampungan.

Di Kampung Sumambu, keadaan geografi yang mencabar bertukar menjadi medan perjuangan buat enam bapa apabila mereka terpaksa menempuh perjalanan dengan berjalan kaki selama tujuh jam selepas laluan utama kampung itu lumpuh sepenuhnya akibat banjir dan tanah runtuh pada Ahad lalu.

Setakat Jumaat lalu, penduduk mendapati jumlah keseluruhan kejadian tanah runtuh di laluan Kampung Sumambu ke Kampung Kapulu meningkat kepada 35 lokasi.

Hal ini sekali gus menjadikan kawasan berkenaan masih diklasifikasikan sebagai zon bencana dengan akses jalan raya terputus sepenuhnya.

Salah seorang daripada kumpulan tersebut, Jeffery Engas, 37, berkata, pada awalnya sebanyak 31 lokasi tanah runtuh dikesan di sepanjang laluan dari Sumambu menghala ke Kapulu sehingga menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui jalan berkenaan.

"Memang laluan keluar dari kampung langsung tidak boleh dilalui kenderaan. Ada 31 lokasi tanah runtuh sepanjang laluan Sumambu ke Kapulu.

"Kami tiada pilihan selain berjalan kaki keluar dengan meredah runtuhan dan sisa banjir selama tujuh jam bagi mendapatkan bantuan serta keperluan asas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kumpulan yang keluar pada pagi itu bukan sahaja terdiri daripada enam bapa, malah turut disertai enam guru, menjadikan keseluruhan 12 individu yang terpaksa meredah laluan mencabar untuk ke pekan Kapulu.

"Penat dan lelah ketika mengharungi lumpur serta tanah runtuh yang tebal tidak menjadi penghalang buat kami.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan utama adalah untuk mendapatkan susu formula bayi dan bekalan makanan asas kerana keluarga di kampung kini berdepan kekurangan bekalan," katanya.

Tanah runtuh berlaku di sepanjang perjalanan dari Kampung Sumambu hingga ke Kampung Kapulu, Tenom.
Tanah runtuh berlaku di sepanjang perjalanan dari Kampung Sumambu hingga ke Kampung Kapulu, Tenom.

Seorang lagi penduduk, Tony Juli, 39, berkata, kerosakan infrastruktur jalan akibat banjir besar dan tanah runtuh bukan sahaja memutuskan perhubungan, malah memusnahkan kebun sayur penduduk yang menjadi sumber pendapatan utama mereka.

"Kebun sayur kami habis musnah. Itu sahaja sumber pendapatan untuk menampung keluarga.

"Sekarang memang terjejas sepenuhnya dan kami bimbang bagaimana mahu meneruskan kehidupan sementara menunggu keadaan pulih. Kesannya, kami tidak mempunyai bekalan makanan sejak seminggu lalu," katanya.

Keadaan itu menyebabkan penduduk kini terputus hampir sepenuhnya daripada bekalan luar memandangkan kenderaan tidak dapat melalui laluan berkenaan dan hanya pergerakan berjalan kaki dibenarkan melalui kawasan tanah runtuh yang masih aktif.

Sehubungan itu, Tony merayu agar pihak berkaitan segera melakukan penilaian kerosakan di semua 35 lokasi tanah runtuh berkenaan serta menyediakan bantuan kecemasan termasuk bakul makanan dan bekalan susu bayi kepada keluarga terjejas.

"Kami harap kerja-kerja pembersihan dan pemulihan jalan Sumambu-Kapulu dapat disegerakan.

"Ini bagi memastikan akses perhubungan kami dapat dipulihkan dan aktiviti harian penduduk kembali seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Yahudi Linggit, 48, berkata, walaupun terpaksa berdepan bahaya dan permukaan tanah yang masih lembut serta licin, mereka tidak mempunyai pilihan lain demi memastikan keperluan asas anak dapat dipenuhi.

"Bencana kali ini boleh dikatakan teruk dan disebabkan itu, kami terpaksa berjalan kaki merentasi kawasan runtuhan tanah demi membeli susu anak.

"Inilah laluan utama kami untuk ke Kampung Kapulu, tetapi jalan hanya dipenuhi lumpur, sisa tanah runtuh dan pokok tumbang sehingga menyebabkan kenderaan tidak dapat melaluinya," ujarnya.

Difahamkan, selepas memperoleh bekalan makanan dan keperluan asas, kumpulan itu kini dalam perjalanan pulang ke Kampung Sumambu dengan menempuh sekali lagi perjalanan sejauh tujuh jam meredah kawasan tanah runtuh.

Perjalanan berisiko itu terpaksa dilalui demi memastikan anak-anak dan keluarga mereka tidak terus berdepan kekurangan bekalan.

Ringkasan AI

  • Hujan berterusan di Tenom menyebabkan tanah runtuh dan memutuskan jalan perhubungan di beberapa kampung
  • Enam bapa dari Kampung Sumambu terpaksa berjalan kaki tujuh jam untuk mendapatkan bantuan dan keperluan asas
  • Jumlah keseluruhan kejadian tanah runtuh di laluan Kampung Sumambu ke Kampung Kapulu meningkat kepada 35 lokasi
  • Banjir dan tanah runtuh memutuskan akses jalan raya dan memusnahkan kebun sayur penduduk, sumber pendapatan utama
  • Penduduk rayu untuk penilaian kerosakan dan bantuan kecemasan termasuk bekalan makanan dan susu bayi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!