Insiden tembak AKPS: Mohd Nasaruddin dalam keadaan baik - Mohd Shuhaily

BUKIT KAYU HITAM - Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berada dalam keadaan baik walaupun hampir ditembak dua lelaki, pagi Rabu.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, susulan kejadian, beliau sendiri turun bertemu Mohd Nasaruddin bagi menilai keadaan serta keseluruhan warga AKPS Bukit Kayu Hitam.
“Insya-ALLAH berdasarkan semangat yang saya tengok tadi semuanya berdiri teguh di belakang komander mereka dan Mohd Nasaruddin pula kalau siapa yang kenal dan tahu, beliau datang daripada unit yang sememangnya terlatih.
“Perkara ini bukan kata biasa tetapi dia telah terlatih untuk mengawal emosi, mengawal reaksi dan sebagainya. Kita nampak beliau tenang dan selamat, malah masih lagi komited dengan kerja di mana itu yang kita mahukan daripada semua pegawai dan anggota di Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, kes terbabit kini dalam siasatan terperinci pihak polis.
“Saya rasa pihak polis sedang melakukan operasi mengesan seperti mana yang diperkatakan Ketua Polis Kedah sendiri pagi tadi, jadi saya amat berterima kasih kerana itu secara tidak langsung akan menambahkan keyakinan anak-anak buah saya di lapangan,” katanya.
Dalam kejadian terbabit, Mohd Nasaruddin nyaris ditembak dua individu ketika sedang memandu Proton X70 semasa dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin, di sini.
Terdahulu, Adzli berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan kelongsong peluru dan meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian serta kawasan berhampiran.
Suspek dipercayai menggunakan senjata jenis separa automatik berdasarkan kesan serpihan peluru yang pecah dalam kenderaan dinaiki Mohd Nasaruddin.
Ringkasan AI
- Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Mohd Nasaruddin hampir ditembak dua lelaki
- Keadaan Mohd Nasaruddin baik dan tenang pasca kejadian
- Ketua Pengarah AKPS turun bertemu untuk menilai keadaan dan memberi sokongan
- Kes ini sedang disiasat oleh pihak polis
- Serangan terjadi ketika Mohd Nasaruddin dalam perjalanan menunaikan solat Subuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

