AS dakwa 'menang' perjanjian dagang dengan Indonesia

Prabowo (kiri) dan Trump semasa menandatangani perjanjian perdagangan antara Indonesia dan AS di Washington.-Agensi
Prabowo (kiri) dan Trump semasa menandatangani perjanjian perdagangan antara Indonesia dan AS di Washington.-Agensi
A
A
A

JAKARTA - Amerika Syarikat (AS) mendakwa perjanjian perdagangan yang dimeterai dengan Indonesia pada 19 Februari lalu di Washington DC sebagai satu kesepakatan bersejarah yang memberi manfaat besar kepada industri dalam negerinya, lapor CNBC Indonesia.

Menurut Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR), perjanjian itu merangkumi komitmen pelaburan Indonesia berjumlah kira-kira AS$33 bilion (RM128 bilion), termasuk pembelian komoditi tenaga bernilai AS$15 bilion (RM58 bilion), sektor aeroangkasa AS$13.5 bilion (RM52.4 bilion) dan produk pertanian AS$4.5 bilion (RM174 bilion).

USTR dalam kenyataan di platform X menyatakan perjanjian tersebut membuka akses lebih luas kepada pengeksport Amerika ke pasaran Indonesia yang mempunyai lebih 280 juta penduduk.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengumumkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Indonesia yang menghapuskan halangan tarif ke atas lebih 99 peratus produk AS.

Beberapa pemimpin industri AS turut memuji langkah tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Pengeluar Susu Nasional AS, Gregg Doud berkata, perjanjian itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap produk tenusu Amerika.

Presiden dan CEO Persekutuan Eksport Daging AS, Dan Halstrom pula menjangkakan nilai eksport daging lembu ke Indonesia boleh mencecah antara AS$400 juta (RM1.5 bilion) hingga AS$500 juta (RM1.9 bilion) dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaan.

Sementara itu, CEO Growth Energy, Emily Skor berkata, pelaksanaan campuran etanol 10 peratus secara nasional di Indonesia berpotensi membuka pasaran hingga 900 juta gelen kepada pengeluar AS.

Dalam sektor perdagangan digital, Naib Presiden Kanan Dasar Global Business Software Alliance (BSA), Aaron Cooper menyifatkan perjanjian tersebut sebagai satu piawaian penting dalam dasar perdagangan digital.

Artikel Berkaitan:

Reaksi Indonesia

Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, perjanjian itu dimuktamadkan menerusi dokumen Implementation of the Agreement toward New Golden Age US-Indonesia Alliance yang ditandatangani bersama oleh Presiden Prabowo Subianto dan Trump.

Menurutnya, kedua-dua negara akan menubuhkan Dewan Perdagangan (Board of Trade) sebagai mekanisme penyelesaian isu perdagangan dan pelaburan pada masa depan.

Hartarto turut menjelaskan bahawa perjanjian baharu itu hanya akan berkuat kuasa selepas proses ratifikasi selesai.

Ini susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang membatalkan tarif timbal balik sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap pelaksanaan dasar tarif baharu AS sebanyak 15 peratus.

Tawaran lebih baik 

Pakar ekonomi dari Centre for Strategic and International Studies Indonesia, Deni Friawan berkata, keputusan mahkamah tidak membatalkan kontrak yang telah dimeterai, namun boleh menangguhkan pelaksanaannya.

Menurutnya, keadaan itu membuka ruang rundingan semula yang mungkin memberi kedudukan tawar-menawar lebih baik kepada Indonesia.

“Kontraknya ada, tetapi pelaksanaannya boleh tertangguh atau memerlukan penyesuaian bergantung kepada asas undang-undang tarif yang digunakan AS,” katanya.

Sementara itu, Profesor Undang-Undang Antarabangsa Universiti Indonesia, Hikmahanto Juwana menegaskan sesuatu perjanjian antarabangsa perlu melalui proses ratifikasi sebelum boleh berkuat kuasa sepenuhnya.

Beliau mencadangkan Indonesia meneliti langkah negara lain sebelum membuat keputusan lanjut.-Agensi

Ringkasan AI

  • Amerika Syarikat mendakwa perjanjian perdagangan dengan Indonesia sebagai satu kesepakatan bersejarah yang merangkumi komitmen pelaburan Indonesia berjumlah kira-kira AS$33 bilion
  • Perjanjian itu membuka akses lebih luas kepada pengeksport Amerika ke pasaran Indonesia yang mempunyai lebih 280 juta penduduk
  • Donald Trump mengumumkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Indonesia yang menghapuskan halangan tarif ke atas lebih 99 peratus produk AS
  • Perjanjian itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap produk tenusu Amerika dan nilai eksport daging lembu ke Indonesia boleh mencecah antara AS$400 juta hingga AS$500 juta
  • Perjanjian hanya akan berkuat kuasa selepas proses ratifikasi selesai, dengan kedua-dua negara akan menubuhkan Dewan Perdagangan sebagai mekanisme penyelesaian isu perdagangan dan pelaburan pada masa depan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!