KPDN Terengganu serbu lokasi pemindahan 939 liter diesel tanpa kebenaran

Sebahagian daripada 939 liter minyak diesel serta lori dan peralatan yang dirampas susulan serbuan Ops TIRIS di sebuah lokasi di Kampung Bukit Tunggal di sini pada Khamis.
Sebahagian daripada 939 liter minyak diesel serta lori dan peralatan yang dirampas susulan serbuan Ops TIRIS di sebuah lokasi di Kampung Bukit Tunggal di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu membongkar kegiatan penyelewengan diesel selepas menyerbu sebuah lokasi di Kampung Bukit Tunggal di sini menerusi Ops TIRIS pada Khamis.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.45 petang itu, pihak penguat kuasa merampas 939 liter cecair disyaki minyak diesel bersama sebuah lori dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu yang mengesan aktiviti mencurigakan membabitkan pemindahan minyak diesel, iaitu barang kawalan berjadual.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an. Seorang daripadanya mengaku diarahkan menjaga cecair berkenaan manakala seorang lagi merupakan pemandu lori.

“Kedua-dua individu terbabit didapati menjalankan aktiviti pemindahan minyak menggunakan hos daripada beberapa tong drum dan tong jerikin ke dalam tangki lori,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran yang sah berkaitan urusan barang kawalan berjadual tersebut.

Antara barangan yang dirampas susulan serbuan Ops TIRIS di sebuah lokasi di Kampung Bukit Tunggal pada Khamis.
Antara barangan yang dirampas susulan serbuan Ops TIRIS di sebuah lokasi di Kampung Bukit Tunggal pada Khamis.

Susulan itu, KPDN menyita 939 liter cecair disyaki diesel, sebuah lori bonded jenama Isuzu tiga tan serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM35,360.73 dan kedua-dua individu terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Mohd Mufsi berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertubuhan atau syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan dengan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan berulang.

Sementara itu, beliau berkata, KPDN Terengganu merekodkan 31 kes membabitkan Ops TIRIS sejak Januari hingga 22 Oktober lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 3,287 premis telah diperiksa dengan nilai rampasan barang kawalan berjadual mencecah RM494,920.93 selain melibatkan tangkapan 11 individu.

“Aktiviti risikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat serta menyebabkan ketirisan dana awam.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi yang disediakan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!