'Silent Reading Picnic' tarik pencinta buku

KUALA TERENGGANU - Aktiviti membaca buku kegemaran secara santai di kawasan lapang dan terbuka kini menjadi tarikan baharu kepada golongan pencinta buku di negeri ini menerusi penganjuran program santai, Silent Reading Picnic.
Inisiatif yang menampilkan pendekatan santai tanpa terikat dengan protokol ini diadakan bagi menyemarakkan semula budaya membaca yang semakin terpinggir dalam arus kemodenan hari ini.
Penganjurnya, Norsyaza Mohamad berkata, idea berkenaan tercetus selepas beliau menerima pelbagai hantaran di media sosial yang memaparkan keterujaan orang ramai berkumpul semata-mata untuk menelaah bahan bacaan.
Menurutnya, pelbagai idea kreatif diperoleh daripada pelbagai komuniti pembaca luar sebelum menerapkan konsep sama di negeri ini.
"Saya berfikir, mengapa tidak kita bawa konsep ini ke Terengganu supaya komuniti pembaca di sini turut merasai pengalaman unik membaca bersama-sama secara beramai-ramai.
"Langkah awal digerakkan dengan berkongsi cetusan idea ini bersama rakan-rakan yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia literasi sebelum kami sepakat merealisasikannya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi program di Lagun, Kuala Ibai, di sini, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Norsyaza menjelaskan, Silent Reading Picnic tidak berfungsi seperti kelab buku konvensional yang kerap meletakkan beban kepada ahlinya untuk membahaskan isi kandungan atau membentangkan ulasan naskhah masing-masing.
Sebaliknya, beliau berkata, program itu memberikan kebebasan mutlak kepada setiap peserta untuk membawa buku pilihan sendiri dan menghayati bacaan mengikut keselesaan individu tanpa sebarang tekanan sosial.
"Ada dalam kalangan peserta lebih selesa melayan naskhah secara bersendirian, manakala sebahagian lagi mengambil kesempatan untuk berinteraksi serta bertukar pandangan dengan pembaca lain.
"Matlamat utama saya adalah untuk membuang rasa janggal atau segan bagi mereka yang hadir secara solo; mereka bebas memilih sama ada mahu fokus sepenuhnya pada buku atau menyertai kelompok lain untuk mengenali rakan baharu," ujarnya.
Tambah beliau, program yang bermula sejak September lalu itu menunjukkan perkembangan positif apabila sambutan yang diterima pada siri kedua melonjak dengan kehadiran lebih ramai peserta.
Ujarnya lagi, sambutan di luar jangkaan itu membakar semangatnya untuk meneruskan siri jelajah bacaan ini pada masa akan datang, selain merangka strategi memilih lokasi yang lebih luas dan selesa.

Sementara itu, seorang peserta, Hafzan Mohamad, 45, berkata, program itu membuka ruang terbaik buat dirinya melepaskan ketegangan kerja sambil menimba ilmu.
Katanya, program berkenaan wajar dikekalkan sebagai acara berkala kerana ia bukan sahaja menjadi wadah berkesan membudayakan ilmu, malah menawarkan dimensi baharu menikmati pembacaan di luar rutin harian.
"Walaupun tugas hakiki saya sebagai Pegawai Sains lebih menjurus kepada aspek teknikal dan saintifik, pembacaan merentas pelbagai genre secara tidak langsung memperluaskan lensa pemikiran serta ketajaman analisis.
"Malah, persekitaran program ini membolehkan saya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bahan bacaan tanpa sebarang gangguan luar, sekali gus menjadikan masa terluang lebih bermakna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

