Remaja 'merempit' cuti hujung minggu dalam radar polis, denda sehingga RM10,000

Antara motosikal yang disita atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal JSPT di Jambatan Kilometer 11, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, awal pagi Jumaat. Gambar kecil: Azli
Antara motosikal yang disita atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal JSPT di Jambatan Kilometer 11, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, awal pagi Jumaat. Gambar kecil: Azli
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Golongan remaja yang mengambil kesempatan menghabiskan cuti hujung minggu dengan aktiviti 'merempit' diberi amaran keras kerana kegiatan mereka kini dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM).

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, sebanyak 77 motosikal disita dalam Operasi Khas Motosikal Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Jambatan Kilometer 11, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di sini, awal pagi Jumaat.

Menurutnya, ​operasi bermula jam 1.30 pagi hingga 8 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Motosikal (BSM) bagi membanteras kegiatan samseng jalanan serta mengesan penunggang yang melanggar peraturan lalu lintas.

​"Seramai 208 individu dan 105 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan, manakala sebanyak 144 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

​Mengulas lanjut, Azli berkata, antara kesalahan dikesan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada lesen memandu, ketiadaan cermin sisi, kesalahan aksesori motosikal serta gagal mempamerkan lesen kenderaan motor.

​"Terdapat juga kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ingkar arahan polis dan mengubah suai struktur ekzos.

"Operasi ini turut menitikberatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain sekali gus mengekang gangguan terhadap ketenteraman awam.

"Jadi, pemantauan serta tindakan penguatkuasaan yang agresif akan diteruskan dari semasa ke semasa, terutamanya di laluan yang dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan samseng jalanan," ujarnya.

​Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti lumba haram.

Artikel Berkaitan:

​"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil selaras peruntukan undang-undang baharu yang berkuat kuasa 1 November ini, melibatkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) menerusi Seksyen 42A bagi membanteras aktiviti perlumbaan haram," katanya.

​Di bawah pindaan terbabit, mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perlumbaan haram dan ujian kelajuan di atas jalan raya berdepan hukuman denda bermula RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi sabitan kedua atau berikutnya pula, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

​Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mencadangkan pindaan bagi mewajibkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan atau ganti rugi kepada mangsa kemalangan atau waris keluarga.

​Mekanisme pampasan itu bakal menjadi tambahan kepada hukuman sedia ada seperti penjara, denda, dan hilang kelayakan memandu di bawah Seksyen 44 Akta 333, yang merangkumi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, serta pemanduan melulu sehingga mengakibatkan kecederaan atau kematian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!