Mati bukan bermakna berhenti memberi

Lampu hijau di Hospital Shah Alam dinyalakan sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham Mohd Sobri kerana menderma organ.
Lampu hijau di Hospital Shah Alam dinyalakan sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham Mohd Sobri kerana menderma organ.
A
A
A

SEBAK hati Merak Jalanan sejak seminggu dua ini. Bukanlah kerana kehilangan insan tersayang atau ditimpa kesedihan, tetapi tersentuh melihat kisah insan-insan yang telah kembali kepada Pencipta, namun masih sempat menghadiahkan kehidupan kepada orang lain melalui pendermaan organ.

Ketika jasad sudah tidak lagi bernyawa, sebahagian daripada diri mereka masih mampu digunakan untuk meneruskan kehidupan insan lain.

Dalam kesedihan sebuah keluarga melepaskan pemergian orang tersayang, ada keluarga lain yang kembali menyimpan harapan apabila insan tersayang mereka mendapat peluang kedua untuk terus hidup.

Ramai sudah tahu kepentingan dan kesedaran mengenai pendermaan organ, malah ada yang telah mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ.

Selalu kita dengar orang meninggalkan harta, wang ringgit, rumah atau tanah apabila meninggal dunia.

Namun, ada insan yang meninggalkan sesuatu jauh lebih berharga daripada segala harta benda. Mereka meninggalkan kehidupan buat insan lain.

Bayangkan ada insan yang mungkin tidak pernah kita kenali, tetapi organ yang didermakannya membolehkan seseorang terus bernafas, melihat dunia dan menikmati kasih sayang keluarga.

Barangkali kita tidak mampu membawa apa-apa selepas meninggalkan dunia, tetapi kita masih berpeluang meninggalkan sesuatu yang membolehkan orang lain terus menikmati kehidupan.

Merak Jalanan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa hormat kepada semua penderma organ serta keluarga yang mengizinkan insan tersayang mereka terus memberi kehidupan kepada orang lain walaupun selepas pergi menghadap Ilahi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!