Ketua kartel dadah paling dikehendaki Mexico, ‘El Mencho’ maut dalam operasi ketenteraan

MEXICO CITY - Mexico mengesahkan bahawa individu paling dikehendaki negara itu, Nemesio Oseguera Cervantes atau lebih dikenali sebagai “El Mencho” telah terbunuh dalam satu operasi keselamatan yang dilancarkan oleh tentera pada Ahad.
El Mencho yang mengetuai Kartel Jalisco Generasi Baharu (CJNG), antara organisasi jenayah paling berkuasa dan ganas di Mexico maut selepas tercedera parah dalam insiden di Tapalpa, sebuah bandar di negeri Jalisco.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Mexico, operasi berkenaan dijalankan ketika waktu subuh dan melibatkan pertempuran dengan ahli CJNG.
Beberapa anggota kartel dilaporkan terbunuh, manakala El Mencho sendiri mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam penerbangan ke Mexico City untuk rawatan kecemasan.
Pihak tentera turut merampas beberapa kenderaan perisai dan pelbagai jenis senjata berat termasuk pelancar roket.
Dalam kejadian sama, tiga anggota tentera turut cedera dan telah dipindahkan ke hospital di Mexico City untuk rawatan lanjut.
Sepanjang hari Ahad, keadaan di beberapa kawasan di Jalisco tegang dengan laporan mengenai kenderaan dibakar, kelibat lelaki bersenjata berkeliaran dan sekatan jalan tidak rasmi.

Gabenor Jalisco, Pablo Lemus Navarro, mengeluarkan amaran kod merah, menggesa penduduk untuk tidak keluar rumah buat sementara waktu.
Kerajaan Amerika Syarikat melalui Jabatan Negara turut mengeluarkan amaran ‘shelter-in-place’ kepada warga AS di negeri Jalisco, negeri Tamaulipas dan kawasan tertentu di Michoacan, Guerrero, serta Nuevo Leon.
Kementerian Pertahanan Mexico turut mengesahkan bahawa AS telah menyalurkan maklumat risikan penting yang membantu kejayaan operasi ini.
Sebelum ini, AS menawarkan ganjaran AS$15 juta (RM58.5 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan El Mencho, menjadikannya antara buruan paling bernilai dalam sejarah negara itu.
Bekas Duta Amerika Syarikat ke Mexico, Christopher Landau turut menyatakan di media sosial bahawa kematian El Mencho merupakan “perkembangan besar untuk Mexico, AS, Amerika Latin dan dunia.”
Di bawah pimpinan El Mencho, CJNG berkembang pesat daripada pangkalan asalnya di Jalisco sebelum menjadi salah satu kartel paling berpengaruh, memiliki kehadiran hampir di seluruh Mexico.
Kematian El Mencho kini mencetuskan persoalan besar mengenai masa depan CJNG serta kemungkinan berlakunya perebutan kuasa dalaman dalam minggu-minggu mendatang. - Awani
Ringkasan AI
- Mexico mengesahkan kematian El Mencho, individu paling dikehendaki negara itu dalam operasi keselamatan oleh tentera
- CJNG ialah organisasi jenayah di Mexico dan tercedera parah dalam insiden di Tapalpa
- Operasi melibatkan pertempuran dengan ahli CJNG di mana beberapa anggota kartel terbunuh dan El Mencho meninggal semasa dalam penerbangan ke Mexico City
- Pihak tentera merampas kenderaan perisai dan senjata berat termasuk pelancar roket
- Kematian El Mencho mencetuskan persoalan besar mengenai masa depan CJNG dan kemungkinan berlakunya perebutan kuasa dalaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
