Pembekuan perolehan ATM tidak jejaskan operasi, pembangunan kementerian

MELAKA – Pembekuan sementara perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjejaskan operasi dan perancangan pembangunan Kementerian Pertahanan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memahami keperluan pembekuan tersebut bagi memberi ruang untuk menambah baik proses perolehan sedia ada.
“Kita faham mengapa pembekuan itu dibuat supaya dapat diberi perhatian terhadap usaha menambah baik proses-proses perolehan dan sebagainya.
“Namun, sebarang perolehan yang dirasakan boleh menjejaskan operasi akan dibawa untuk dirunding, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya perolehan tersebut boleh diteruskan,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Kerja Menteri Pertahanan ke Kem Terendak di sini pada Isnin.
Pada Rabu, Anwar memaklumkan pembekuan sementara perolehan membabitkan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan diteruskan.
Anwar berkata, pembekuan sementara semua perolehan yang diputuskan sebelum ini tidak harus diganggu oleh mana-mana pihak kerana keputusan itu dibuat berikutan wujud kelemahan dalam proses tadbir urus dan tata kelola.
Mohamed Khaled bagaimanapun berkata, pihaknya yakin perkara yang melibatkan kesejahteraan anggota ATM wajar diteruskan tanpa sebarang kompromi.
Sementara itu, mengulas isu kebocoran maklumat yang didakwa melibatkan pergerakan kenaikan pangkat pegawai kanan ATM, PDRM telah memanggil beberapa pegawai untuk membantu siasatan dan siasatan masih diteruskan.
“Laporan telah dibuat kepada PDRM dan siasatan sedang dijalankan.
“Saya percaya apabila siasatan selesai, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Lawatan selama dua hari ke Kem Terendak itu bertujuan melihat secara langsung tahap keupayaan pengoperasian pasukan termasuk pelaksanaan projek dalam kem, selain bertemu dengan anggota tentera serta keluarga di sekitar Melaka.
Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan 3,270 unit komputer riba sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada 38 buah Sekolah Dalam Kem Angkatan Tentera Malaysia (SDK ATM) di MRSM Terendak.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan simbolik penyampaian peruntukan senggaraan berjumlah RM25 juta serta Alat Bantu Mengajar (ABM) SDK ATM bagi tahun 2026.
Selain itu, Mohamed Khaled turut diberikan taklimat komprehensif mengenai pelaksanaan Projek Pembangunan Hospital ATM dan projek naik taraf sistem retikulasi air.
Projek Pembangunan Hospital ATM baharu bernilai RM320 juta itu telah diluluskan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada tahun 2022 dan memulakan kerja fizikal pada 14 November 2024.
Projek tersebut dijadualkan siap sepenuhnya pada 10 Januari 2029 dengan kapasiti 150 katil, bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah berusia lebih 60 tahun.
Sementara itu, projek naik taraf sistem retikulasi air yang diluluskan di bawah RMK Ke-12, Rolling Plan Ke-4 (RP4) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bertujuan menangani isu bekalan air di Kem Terendak, merangkumi kerja menaik taraf sistem sedia ada bagi menjamin bekalan air yang selamat, mencukupi dan mampan.
Beliau kemudiannya menghadiri Program Ekonomi MADANI: Projek Cendawan Pintar anjuran Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) serta penyampaian sumbangan kebajikan.
Ringkasan AI
- Pembekuan sementara perolehan melibatkan ATM tidak menjejaskan operasi dan perancangan pembangunan Kementerian Pertahanan
- Kerajaan memahami keperluan pembekuan untuk menambah baik proses perolehan
- Perolehan yang boleh menjejaskan operasi akan dibawa untuk dirunding supaya bisa diteruskan
- Anwar Ibrahim maklumkan keputusan pembekuan dibuat atas kelemahan dalam proses tadbir urus dan tatakelola
- Mohamed Khaled yakin kesejahteraan anggota ATM wajar diteruskan tanpa kompromi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

